Kerajaan akan memberi tumpuan utama kepada usaha memperkasa bidang kesihatan dan pendidikan di samping projek pengangkutan awam serta keperluan lain.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bidang kesihatan dan pendidikan itu menjadi keutamaan menerusi Belanjawan 2023 kerana dilihat dalam keadaan kritikal dan perlu diperkukuh semula.
"Dengan kekangan kewangan hutang yang defisit. Kita tidak dapat selesaikan masalah dalam masa yang singkat.
"Jadi untuk tahun ini kita nak ambil langkah yang sangat tegas dan berani, belanja yang jauh lebih tinggi untuk selesaikan masalah asas prasarana sekolah daif, tandas, kelengkapan sekolah dan juga aspek kesihatan serta perubatan.
"Sebab itu kita lihat peruntukan mendadak bagi Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan pada Belanjawan 2023, bukan kementerian lain tidak penting, cuma kita tumpukan pada bidang yang dianggap terdesak dan perlu," katanya.
Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 24 Feb lepas, menyaksikan Kementerian Pendidikan menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM55.2 bilion, manakala Kementerian Kesihatan pula menerima peruntukan kedua terbanyak berjumlah RM36.3 bilion.
Sementara itu Anwar turut menjelaskan walaupun kedua-dua bidang itu diberi perhatian utama, kementerian lain tidak akan dipinggirkan dan keperluan berkaitan turut akan diambil kira.
Comments