Sejumlah RM7.4 juta telah dibelanjakan kerajaan bagi membangunkan sukan permotoran di seluruh negara sepanjang tahun lalu.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim di Dewan Rakyat pada Isnin berkata, walaupun kerajaan tidak mempunyai dana khusus untuk sukan permotoran, pihaknya menggunakan beberapa dana sedia ada seperti Geran Padanan Sukan (GPS), Dana Sukan Komuniti dan Dana Sukan Kawasan bagi tujuan itu.
"Peruntukan ini digunakan untuk melaksanakan program-program pemerkasaan, termasuk penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan seperti minibike dan pushbike, serta latihan kemahiran asas dalam sukan go-kart, rally, drift, cub prix, pocket bike, dan motocross.
"Selain itu, turut dilaksanakan adalah Bengkel Pemurnian Modul Disiplin Sukan Enduro, Kursus Marshal, dan Kursus Pemanduan Selamat," katanya dipetik.
Adam Adli berkata begitu sebagai menjawab pertanyaan seorang Ahli Parlimen berhubung inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mempromosikan sukan permotoran.
Sementara itu beliau memaklumkan, sebanyak 13 siri kejohanan kebangsaan dan antarabangsa bagi mempromosikan sukan bermotor turut dilaksanakan di Sepang International Circuit iaitu SIC Ohvale Junior 2024, Malaysia Championship Series 2024 dan Malaysia Superbike Championship.
KBS katanya turut memohon Belanjawan 2025 memperuntukkan dana bagi penganjuran perlumbaan dan Geran Khas kepada negeri bagi naik taraf litar motocros.
"Kementerian berhasrat untuk memberi fokus kepada pembangunan kemudahan sukan motocross di seluruh negara melalui kerjasama dengan kerajaan negeri," ujarnya.
Sebagai permulaan, kementerian telah memperuntukkan RM400,000 kepada Majlis Sukan Negeri Perlis untuk menaik taraf Litar Motorcross di Sungai Batu Pahat, Kangar, Perlis.
Kommentare