Kementerian Kesihatan (KKM) kekal dengan keputusan untuk meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi menangani jurang antara Program Parallel Pathway (PPP) dan Program Sarjana Perubatan tempatan.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu turut dipersetujui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui sesi libat urus yang dijalankan sebelum ini.
Pindaan terhadap akta itu jelasnya penting bagi membolehkan pelatih yang menyelesaikan program itu dengan jayanya, mendaftar sebagai pakar di bawah akta berkenaan.
"Ini proses yang kita buat bagi menyelesaikan kemelut, penetapan ke atas ketidaktentuan kedua-dua program itu serta bagi menyelesaikan masalah kekurangan pakar perubatan di fasiliti kesihatan kerajaan," katanya dipetik.
Dr Dzulkefly berkata begitu kepada pemberita selepas Lawatan Rasmi ke Fasiliti Kesihatan di Hospital Kuala Kubu Bharu (KKB) di Hulu Selangor, pada Jumaat.
Awal bulan ini Dzulkefly berkata KKM akan mengangkat cadangan kepada Jemaah Menteri untuk menyegerakan pindaan Akta 50 selewat-lewatnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 pada Jun dalam usaha memastikan pakar perubatan yang telah menamatkan latihan mereka di bawah PPP akan didaftarkan dan diiktiraf.
Bagaimanpun Ketua Kumpulan Profesor Kesihatan dan Perubatan, Profesor Dr Noor Hassim Ismail yang berpandangan tiada keperluan untuk meminda Akta 50 bagi mengatasi jurang antara PPP dan Program Sarjana Perubatan tempatan.
"Siapa sahaja boleh beri pendapat, namun KKM dan KPT berpendirian sama dalam hal ini selaras dengan rumusan kajian dan libat urus yang amat komprehensif dilakukan secara bersama, jadi kita akan bentang memorandum cadangan pindaan ini kepada Jemaah Menteri tidak lama lagi," tambah Dr Dzulkefly.
Comentários