
Kerajaan Madani giat berusaha untuk menghasilkan kira kira 100,000 profesional terdiri daripada kalangan Bumipuetra menjelang 2030.
Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, golongan profesional itu diutamakan dalam bidang perniagaan, perakaunan dan teknologi.
Katanya, Yayasan Peneraju, sebuah agensi Bumiputera di bawah Kementerian Ekonomi akan meningkatkan jumlah pengambilan untuk kursus profesional perakaunan melebihi sekali ganda daripada jumlah pada waktu ini.
"Berita baik untuk ibu bapa dan adik-adik yang menunggu keputusan SPM 2025.
"Bagi 2025, seramai 2,000 pengambilan akan ditawarkan, berbanding sekitar 1,000 pengambilan dalam tahun-tahun sebelum ini.
"Begitu juga untuk profesional Bumiputera dalam bidang teknikal, pengambilan akan ditingkatkan sekali ganda," katanya dalam muat naik di Facebook.
Tegas beliau, mulai tahun 2026, jumlah pengambilan yang ditawarkan bagi kelayakan profesional dan teknologi akan dilipatgandakan setiap tahun bertujuan mencapai sasaran melahirkan 100,000 profesional Bumiputra bertauliah dalam bidang perniagaan, perakauan dan teknologi sebagaimana dirancang.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden KEADILAN itu menempelak pembangkang yang kononnya membela Melayu tetapi tidak jelas dasar apa yang diluluskan mereka ketika memerintah pada 2020 - 2022 lalu.
"Ada yang kuat berkokok membela Melayu tetapi masa dia jadi kerajaan nak lahir 200 akauntan Melayu bertauliah pun payah. Kuat berkokok kerja tak jalan.
"Saya pilih untuk buat kerja diam-diam lahirkan lebih ramai profesional Melayu bertauliah dan InsyaAllah mereka akan berkokok sebagai bukti keberkesanan program Bumiputera kerajaan," katanya lagi.
Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program yang dilakukan Yayasan Peneraju dalam meningkatkan jumlah profesional Bumiputera boleh melayari: https://yayasanpeneraju.com.my/
Comments