Kerajaan akan teliti semula kerangka kerja Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman - PM
- Suara Keadilan
- Apr 9
- 2 min read

Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) yang pada waktu ini berdepan tindakan undang undang difailkan di Mahkamah Tinggi berupa semakan ke atas kesahan Perlembagaan, perlu diteliti oleh kerajaan mengenai sebarang kekurangannya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan mendengar keluh kesah dalam kalangan pelbagai pihak termasuk badan kehakiman, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani (NGO) menegnai akta terbabit.
Sehubungan itu, beliau memutuskan agar kerajaan meneliti akta berkenaan untuk diperbaiki berdasarkan keperluan.
"Sementara Kerajaan akan mempertahankan kesahan Akta SPK di mahkamah, saya menzahirkan komitmen reformasi Kerajaan MADANI untuk meneliti semula secara menyeluruh kerangka kerja SPK, selaras dengan semangat pembaharuan institusi.
"Ini bagi memastikan proses pelantikan kehakiman benar-benar mencerminkan prinsip ketelusan serta kebebasan badan kehakiman tanpa menjejaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dan keistimewaan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Kajian semula ini akan melibatkan rundingan bersama pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani (NGO), dengan matlamat memperbaiki sebarang kelompongan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti sistem keadilan negara," katanya dalam kenyataan petang ini.
Menurut Anwar, sebarang reformasi yang bakal dibawa akan menyemangati prinsip Perlembagaan, iaitu memelihara doktrin pengasingan kuasa, menjunjung sistem Raja Berperlembagaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.
"Hanya dengan asas yang kukuh ini, kita dapat memastikan kestabilan jangka panjang dan sistem demokrasi negara kekal terjamin.
"Justeru, Kerajaan MADANI kekal berpegang kepada prinsip tadbir urus yang berintegriti dan akan terus bertindak dengan telus, bertanggungjawab dan menghormati kesemua institusi Perlembagaan dalam menguruskan isu sepenting ini," ujarnya.
Bagaimanapun, dalam kenyataan sama, PM tetap menghormati tindakan pihak yang memfailkan semakan kehakiman ke atas akta berkenaan sebagai sebahagaian daripada proses kedaulatan undang undang.
"Kerajaan menghormati sepenuhnya hak mana-mana individu untuk mendapatkan tafsiran Perlembagaan melalui saluran serta jalur kehakiman.
"Ini adalah antara tonggak penting dalam sistem demokrasi berperlembagaan yang berpaksikan kedaulatan undang-undang.
"Seperti dalam mana-mana proses mahkamah, Kerajaan memberi jaminan ia berjalan tanpa campur tangan atau prejudis sama sekali," katanya lagi.
Comentarios