
Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Dalam Negeri (KDN) merumuskan tiga perkara pasca sesi libat urus yang diadakan terutamanya bagi meneliti semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta 747.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memakluman hasil sesi libat urus yang telah diadakan, KDN mendapati terdapat ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi mengimbangi keperluan keselamatan negara dengan hak asasi individu.
Katanya pada masa sama, penambaikan itu juga turut mengambil kira undang-undang seperti Akta 747 berkesan bagi menangani aktiviti jenayah serius, kompleks dan berstruktur yang mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.
''Hala tuju akta ini melibatkan tiga perkara iaitu yang pertama, kerajaan akan membuat semakan semula terhadap senarai atau jadual kesalahan-kesalahan yang tidak boleh dijamin (mutlak) dan kesalahan-kesalahan yang boleh dijamin dengan budi bicara mahkamah mengikut tahap serius sesuatu kes itu.
''Terdapat 73 kesalahan yang dirangkum di bawah akta ini.. mulai sekarang kita akan semak semula dan akan lihat apa jenis kesalahan yang dikekalkan sebagai tidak boleh dijamin mutlak dan apa kesalahan yang akan dipulangkan kuasa kepada mahkamah untuk membenarkan ikat jamin.
''Selepas ini, kita akan lihat (daripada 73 kesalahan) itu yang mana boleh diserahkan kepada budi bicara mahkamah untuk membenarkan ikat jamin,'' katanya ketika sesi penerangan berhubung cadangan kajian semula Akta SOSMA.
Perkara kedua pula kata Saifuddin, kerajaan akan mengkaji keperluan dan kesesuaian untuk mewujudkan Mahkamah Khas persis seperti Mahkamah Khas Jenayah Rasuah; Seksual Kanak-Kanak; Alam Sekitar; Siber dan juga Mahkamah Sesyen Khas (PATI).
Jelasnya, ketika ini terdapat keperluan untuk kerajaan mempertimbangkan penubuhan mahkamah khas khusus untuk kes SOSMA supaya ia tidak menunggu lama.
''Ketiga, kita akan mengkaji untuk meminda Seksyen 30 berhubung penahanan sementara menunggu proses undang-undang habis.
''Ia boleh dipertimbangkan untuk selari dengan cadangan Seksyen 13 berhubung jaminan. Sebentar tadi saya terangkan bahawa Seksyen 13 tidak boleh sama sekali dibenarkan ikat jamin.
''Tetapi kalau setelah kita serahkan sejumlah kesalahan kepada budi bicara mahkamah untuk dibenarkan ikat jamin, dengan sendirinya kita perlu meneliti semula Seksyen 30 yang pada asasnya ditahan sementara proses undang-undang itu selesai,'' ujarnya lagi.
Sesi libat urus itu membabitkan Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Badan Peguam Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Pengamal Undang-Undang, Peguam dan ahli-ahli akademik.
Selain minyak, kilang pemprosesan aluminium terbesar keempat di dunia juga terletak di Bahrain, yang menjadi eksport utama mereka ke Malaysia.
Komentáře