Oleh: Abdullah Zaid
Masalah yang membelenggu masyarakat India di sekitar Ladang Bahau, Negeri Sembilan berhubung pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bahau yang tertunda hampir lima tahun kini bakal menemui jalan penyelesaiannya.
Menerusi kenyataan bersama, Setiausaha Politik Pejabat Presiden KEADILAN, Manivanan Gowin (dua dari kanan) dan Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Supermaniam telah sependapat mengenai beberapa isu teknikal perlu diselaraskan dengan sempurna sebelum pembinaan SJKT Ladang Bahau itu dapat dimulakan.
Hal berkenaan diputuskan selepas mereka membuat lawatan bagi mendapat maklumat terperinci mengenai projek sekolah itu kelmarin.
"Hasil daripada lawatan tersebut, kami memahami beberapa isu teknikal perlu diselaraskan dengan sempurna sebelum pembinaan dapat dimulakan.
"Saya akan membawa perkara ini untuk berbincang dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya mendapat perhatian dan panduan segera untuk menyelesaikan masalah teknikal yang berbangkit.
"Oleh itu, saya dan Veerapan akan bertemu dengan semua pemegang taruh yang telah berjuang, dan mempunyai niat bersama untuk pembinaan sekolah ini akan dijemput untuk satu sesi perbincangan dalam masa terdekat," kata Manivanan dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, Manivanan optimis kerajaan dan Kementerian Pendidikan sentiasa memberi komitmen agar anak-anak diberi pendidikan berkualiti di samping suasana pembelajaran yang selesa dan kondusif tanpa mengira batasan kaum, agama atau politik.
コメント