
Kerajaan bakal memperkenalkan sistem perisikan untuk memantau aktiviti penjualan data peribadi di laman sesawang gelap.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo di Dewan Rakyat pada Selasa berkata, sistem yang pertama seumpamanya itu dijangka diperkenalkan pada suku kedua tahun ini dinamakan Projek Keupayaan Automasi Sokongan Perisikan Bagi Pengurusan Kes Ketirisan Data Peribadi.
"Projek ini dibangunkan berikutan peningkatan kebimbangan terhadap isu penjualan dan transaksi data peribadi melalui platform beli-belah dalam talian termasuk laman sesawang gelap.
"Ini merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Digital, melalui Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP), dalam menangani krisis keselamatan digital global yang semakin membimbangkan," katanya dipetik menjawab soalan berhubung usaha mengurangkan insiden kebocoran maklumat peribadi.
Gobind yang juga Ahli Parlimen Damansara sementara itu berkata, kementeriannya melalui Pesuruhjaya PDP juga giat meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dalam mengawal selia undang-undang keselamatan data peribadi.
Pesuruhjaya PDP juga akan melaksanakan Projek Pensijilan Information Security and Privacy Management System (ISPMS) berlandaskan Standard ISO/IEC 27001 pensijilan Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) dan ISO/IEC 27701 Privacy Information Management System (PIMS).
"Selain itu program advokasi dan kesedaran juga akan diperhebat bagi memberi kesedaran tentang kepentingan pematuhan pemprosesan data peribadi dengan transaksi komersial berdasarkan Prinsip-prinsip Perlindungan Data Peribadi," tambahnya.
Dalam pada itu Gobind memaklumkan dewan bahawa kementeriannya menerusi CyberSecurity Malaysia bakal menubuhkan Akademi Keselamatan Siber Malaysia dalam usahanya melahirkan kepakaran siber negara,
Langkah itu sebagai mendukung aspirasi Kementerian Digital untuk mengisi kekosongan tenaga kerja mahir bidang keselamatan siber dengan menawarkan kursus yang berpaksikan Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Comentários