Kerajaan MADANI sedang dalam usaha mengiktiraf pelajar tahfiz yang menghafal 30 juzuk al-Quran untuk dikurniakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 5 yang setaraf program diploma.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET negara berkata, langkah itu merupakan usaha kerajaan dalam memantapkan penerapan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di institusi tahfiz bagi melahirkan hafiz profesional.
Katanya, hal itu sedang dilaksana bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan pihaknya juga bercadang memberi pengiktirafan kepada pelajar tahfiz yang menghafal 20 juzuk al-Quran dengan SKM Tahap 3 atau setara Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Ertinya, yang mahu masuk dan melanjutkan pelajaran dalam TVET di Universiti tak perlu ambil SPM kerana apabila hafal 20 juzuk maka akan dapat SKM Tahap 3, manakala yang 30 juzuk diberikan SKM Tahap 5 yang sama taraf diploma.
"Apa yang sedang saya lakukan ini adalah untuk menukar ekosistem pendidikan negara agar lebih progresif," katanya dipetik.
Ahmad Zahid berkata begitu melalui ucapan di program Sesi Ramah Mesra dan Taklimat Projek Pembinaan Bangunan SM Imtiyaz Tuminah Hamidi, di Bagan Datuk pada Khamis.
Beliau bagimanapun menegaskan, pengiktirafan sedemikian hanya akan diberikan kepada pelajar atau lepasan institusi tahfiz yang berdaftar.
Sementara itu tambahnya, ketika ini terdapat 1,199 maahad atau institusi tahfiz seluruh negara yang berdaftar, namun angka maahad tahfiz tidak berdaftar melebihi sekali ganda jumlah itu apabila terdapat 2,500 maahad tahfiz tidak berdaftar di seluruh negara ketika ini.
Justeru beliau menggesa supaya pengendali maahad tahfiz mendaftarkan institusi mereka bagi melayakkan pelajar lepasan institusi terbabit menikmati manfaat itu.
"Maka sebaik-baiknya mendaftarlah supaya bantuan-bantuan dapat diberikan dan tidak hanya mengharapkan derma atau yuran yang dibayar ibu bapa sahaja. Insya-Allah saya akan bantu jika mendaftar," tambahnya.
Comments