
Pengoperasian Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang dimulakan sejak Februari lalu dianggap telah memberi impak positif apabila berjaya mengurangkan kerenah birokrasi dengan ketara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan, keputusan menyatukan kawalan sempadan negara di bawah satu agensi menunjukkan tanda positif dalam memenuhi perancangan dan jadual kerja yang telah ditetapkan.
"Terlalu awal untuk kita membuat kesimpulan, tetapi saya optimis bahawa penubuhan AKPS adalah keputusan yang tepat
"Sebahagian pelanggan yang berurusan di pintu masuk mendapati urusan lebih mudah dengan satu agensi berbanding sebelum ini. Sekurang-kurangnya, saya rasa lega apabila mendengar maklum balas seperti itu," katanya dipetik.
Saifuddin sebelumnya menghadiri Program Nilai-Nilai Murni Ihya’ Ramadan oleh AKPS 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
AKPS ditubuhkan secara rasmi selepas pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860) pada 17 Okt 2024.
Agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini berfungsi sebagai agensi tunggal yang memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk negara dengan menyatukan kepakaran serta sumber dari pelbagai jabatan kerajaan.
Sementara itu menurut beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah diberikan beberapa maklum balas mengenai pelaksanaan AKPS memandangkan ia merupakan sebuah agensi baharu.
"Perdana Menteri mahu mendengar sendiri maklum balas mengenai pelaksanaan AKPS, termasuk cabaran yang dihadapi, kekangan yang perlu ditangani serta penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi memperkukuh keberkesanan agensi ini" katanya.
Menurut Saifuddin, setakat ini agensi tersebut telah beroperasi di 22 pintu masuk, manakala baki 101 lagi akan dilaksanakan secara berperingkat, menjadikan jumlah keseluruhan 123 lokasi.
"Dalam perancangan awal, sasaran kami adalah 118 pintu masuk. Namun, selepas semakan semula, kami mendapati ada keperluan untuk menambah jumlah tersebut kepada 123 lokasi," tambahnya.
Comments