Seorang pakar perlembagaan menganggap keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengisytiharkan enam bekas wakil rakyat Bersatu tidak perlu mengosongkan kerusi mereka adalah satu keputusan yang tepat.
Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata, sebagai Speaker peranan beliau bukan sekadar mengesahkan sama ada berlaku kekosongan kerusi atau tidak sebaliknya perlu menggunakan budi bicara terkawal dan tidak boleh membuat keputusan sewenang-wenangnya
"Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa pemecatan, pembuangan atau penyingkiran daripada parti bukanlah alasan untuk mengosongkan sesuatu kerusi dan Speaker perlu melihat sama ada apa yang sebenarnya berlaku ialah pemecatan dan bukannya berhenti daripada menjadi ahli parti.
"Pandangan peribadi saya dipengaruhi oleh rakan sekerja terutama di Universiti Malaya iaitu Dr Sheila Ramalingam yang telah menulis di dalam kertas kerjanya bahawa tindakan berhenti menjadi ahli parti dianggap sebagai pemberhentian dan sebahagian daripada kebersalahannya terletak di pihak Ahli Parlimen terbabit," katanya dipetik dari program temu bual Bernama World terbitan Bernama TV semalam.
Shad Saleem yang juga Pemegang Kursi Tunku Abdul Rahman Universiti Malaya berkata seseorang Ahli Parlimen terhenti daripada menjadi anggota parti atas tindakannya sendiri seperti tidak membayar yuran, gagal menghadiri mesyuarat, meletak jawatan atau menyertai parti lain.
"Jadi bila bercakap mengenai penyingkiran daripada parti, itu adalah keputusan parti. Parti akan memberi notis dan melakukan siasatan. Ia akan membuang ahli terbabit daripada parti kerana wujud salah laku.
Dari sudut itu katanya, tindakan Bersatu membatalkan keahlian keenam-enam Ahli Parlimennya merupakan satu penyingkiran atau pemecatan secara konstruktif sekali gus tidak menyebabkan mereka gugur sebagai wakil rakyat.
"Secara peribadi, saya tidak menyokong tindakan lompat parti kerana ia adalah amalan yang tidak bermoral kerana menafikan keputusan pilihan raya. Pada masa sama, saya tidak nampak situasi membabitkan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu itu akan menjadi ancaman kepada kewujudan atau fungsi parti politik di Malaysia. Jangan lupa bahawa selama 64 tahun kita tidak mempunyai sebarang undang-undang antilompat parti kerana ia hanya muncul pada 2022," katanya.
Ditanya sama ada wujud duluan bagi menyokong atau menyanggah tindakan Johari, Shad Saleem berkata tidak ada duluan yang dianggap baik dalam hal ini kerana undang-undang antilompat parti agak baharu.
"Undang-undang sangat terbuka dan bagaimana situasi pada masa hadapan bergantung kepada beberapa faktor yang tidak dapat diramal. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menyatakan bahawa beliau sedia mendengar cadangan untuk meminda semula pindaan ini. Dalam erti kata lain, untuk memberikan sedikit panduan kepada apa yang dianggap sebagai berhenti menjadi ahli parti dan apa yang dianggap sebagai penyingkiran.
"Jadi, jika undang-undang ini dipinda untuk menjadikan ia lebih jelas atau jika ada keputusan kehakiman untuk menjelaskannya maka sudah tentu kita perlu mengikuti undang-undang tersebut," katanya.
Pada 20 Jun lepas, Bersatu menyerahkan notis kepada Johari yang meminta agar keenam-enam kerusi diisytiharkan kosong kerana wakil rakyat terbabit tidak lagi menjadi ahli parti itu. Keenam-enam Ahli Parlimen sebelum itu telah mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 11 Julai lepas, Johari mengulangi bahawa keputusan berkaitan status bekas enam Ahli Parlimen Bersatu itu adalah kekal kerana kerusi mereka tidak dianggap kosong.
Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Comentarios