Oleh: Azuan Ab Rahman
Keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas jenayah perang disambut baik Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, keputusan itu dianggap sebagai satu pencapaian sangat penting dalam usaha antarabangsa menuntut keadilan atas kekejaman dilakukan rejim Israel terhadap rakyat Palestin terutama di Gaza.
Ia isyarat jelas bahawa masyarakat dunia kini lebih tegas dalam menolak sebarang bentuk kekejaman rejim Israel.
"ABIM turut menghargai kesediaan pelbagai negara untuk melaksanakan keputusan ini, yang merupakan satu isyarat yang jelas akan kesepakatan masyarakat dunia terhadap perlunya tindakan tegas dan tekanan berterusan untuk menghentikan kekejaman Israel," katanya dalam satu kenyataan.
ICC pada Khamis mengumumkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Netanyahu dan Gallant atas tuduhan jenayah perang yang didakwa dilakukan mereka di wilayah Palestin, termasuk Gaza.
Waran tangkap itu dikeluarkan ketika serangan genosid Israel ke atas Gaza baru-baru ini memasuki tahun kedua, dengan jumlah kematian rakyat Palestin menjangkau kira-kira 44,000, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 103,000 yang lain.
Ahmad Fahmi sementara itu berkata, keputusan ICC menuntut gerakan masyarakat sivil termasuk di Malaysia untuk memperkukuh usaha advokasi memastikan keadilan terus ditegakkan.
Justeru beliau menyeru rakyat Malaysia terus bersatu menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berani menyuarakan pendirian Malaysia di peringkat antarabangsa demi membela rakyat Palestin.
Comments