Kepimpinan PM Anwar dalam ASEAN dijangka mampu selesai isu Myanmar
- Suara Keadilan
- Feb 22
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ketokohan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai hubungan baik dengan semua negara selain mengetuai Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, dilihat berupaya memberi manfaat dalam penyelesaian isu konflik di Myanmar.
Gandingan Anwar dan penasihat beliau, bekas PM Thailand Thaksin Shinawatra pula dijangka akan memudahkan melakukan rundingan rasmi dengan junta tentera Myanmar dalam menyelesaikan krisis politik negara itu, terutama bersabit isu pelarian yang menjejaskan sempadan Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Menurut Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, menjadi Pengerusi ASEAN 2025 akan memberi kelebihan kepada Datuk Seri Anwar dalam bertindak merundingi isu yang sejak beberapa tahun ini meresahkan semua pihak.
''Saya rasa dengan pelantikan bekas PM Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat kepada Pengerusi ASEAN, ia menunjukkan antara komitmen serius Datuk Seri Anwar untuk menyelesaikan isu Myanmar.
''Ada juga sebab-sebab strategik mengapa Thaksin itu boleh membantu dalam menyelesaikan isu Myanmar,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyelesaian isu pelarian Myanmar di Asia Tenggara memandangkan Malaysia menjadi tuan rumah ASEAN pada tahun ini.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid pula berkata, Malaysia perlu bertindak pantas menyelesaikan isu Myanmar bagi menjamin kestabilan politik serantau, terutama dalam hal pelarian Rohingya.

"MAPIM mencadangkan ASEAN segera menggerakkan dana, sumber dan kepakaran untuk menyokong operasi bantuan bagi pelarian Rohingya di Bangladesh, dan negara-negara lain yang menjadi tuan rumah kepada komuniti yang dipindahkan.
"Kedua, ASEAN harus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Myanmar, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Bangladesh untuk membangunkan pelan penghantaran pulang yang selamat dan sukarela.
"Jaminan keselamatan dan keamanan bagi mereka yang pulang menjadi perkara utama. ASEAN harus bertindak sebagai pemudah cara untuk memastikan pelarian boleh pulang ke tanah asal mereka di Arakan dengan perlindungan hak asasi manusia sepenuhnya," katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan, ASEAN sebagai pertubuhan serantau berada dalam kedudukan unik untuk menggalakkan pembabitan diplomatik dengan pihak berkuasa Myanmar, mempertanggungjawabkan mereka atas pelanggaran yang dilakukan dan menyelaraskan usaha bantuan kemanusiaan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelarian.
ASEAN tambahnya, harus mendesak Myanmar mematuhi konvensyen antarabangsa mengenai kewarganegaraan dan hak asasi manusia.
"ASEAN mesti mengetuai tanggungjawab dalam membangunkan rangka kerja serantau yang komprehensif menangani punca utama krisis seperti diskriminasi kaum, Islamofobia dan keganasan terhadap komuniti di Myanmar," katanya lagi.
Comments