Perdana Menteri Datuk Seri Anwar dilihat mampu menerajui ASEAN dengan cemerlang apabila kepimpinannya menyaksikan lebih banyak kumpulan negara dapat digerakkan di bawah pertubuhan serantau di tengah-tengah pergolakan geoekonomi global, kata pakar.
Profesor Pengajian ASEAN Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Phar Kim Beng berkata di bawah kepimpinan Anwar, Malaysia berjaya mewujudkan hubungan ASEAN Plus 3 iaitu membabitkan China, Jepun dan Korea.
"Banyak kredit harus diberikan kepada Anwar kerana wujudnya proses ASEAN GCC Plus China.
"Namun, Anwar juga menekankan bahawa proses ASEAN Plus 3 perlu diperkukuhkan lagi, seperti yang dinyatakannya dalam Forum Ekonomi Davos pada Januari lalu," katanya dalam satu tulisan.
Kim Beng berkata ketiga-tiga negara itu, masing-masing mempunyai kedudukan nilai yang unik untuk lebih mendekati ASEAN sebagai Rakan Strategik Komprehensif (CSP).
"Jika proses ASEAN GCC Plus 1 boleh merangkumi China, ia selari dengan alasan geoekonomi Anwar dan pemimpin ASEAN lain untuk memudahkan Jepun dan Korea Selatan mewujudkan mekanisme ASEAN GCC Plus Jepun (atau Korea Selatan) pada masa hadapan," ujarnya.
Beliau berkata penglibatan ketiga-tiga kuasa ekonomi besar di Asia Timur itu penting kerana kumpulan berkenaan merupakan ahli G20 bersama dengan Indonesia manakala Pengerusi ASEAN diterima sebagai pemerhati dalam G20.
Dalam pada itu, beliau berkata Anwar juga menekankan kepentingan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang akan berlangsung pada pertengahan Oktober 2025 yang akan menjadi acara terakhir menandakan tamatnya Kepengerusian ASEAN Malaysia.
"EAS, seperti yang dinyatakan oleh Anwar di London School of Economics pada Januari lalu, ia dipenuhi dengan Rakan Dialognya, iaitu Australia, China, Kanada, India, Jepun, Kesatuan Eropah (EU), Korea Selatan, Rusia, New Zealand, United Kingdom (UK), dan AS," katanya.
Selaras dengan Piagam ASEAN, pertubuhan serantau itu menjadi kuasa pemacu utama dalam menggalakkan kerjasama serantau dan mengekalkan peranannya yang utama dalam mekanisme kerjasama serantau.
"Sama pentingnya, Anwar tidak boleh mengabaikan kepentingan Perkongsian Pembangunan ASEAN dengan negara seperti Chile, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, dan Peru jika ASEAN ingin memperluaskan Perkongsian Progresif Komprehensif dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Rentas Pasifik (CPTPP), yang kini sedang menarik minat UK untuk menyertainya.
"Ini kerana Malaysia dan Indonesia bercita-cita menjadi anggota penuh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), di mana Jepun dan Korea Selatan sudah pun menjadi ahli penuh," kata beliau.
Jelas Kim Beng, Anwar turut menggerakkan usaha bagi menyesuaikan diri dengan realiti 'geoekonomi' baharu dunia apabila bekerjasama dengan blok BRICS yang membabitkan Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan (BRICS).
Mengenai kedudukan Malaysia dalam kumpulan BRICS, Anwar telah menjelaskan bahawa kepentingan Malaysia dalam BRICS adalah semata-mata untuk menyesuaikan diri dengan "realiti geoekonomi" baharu dunia di mana negara dan masyarakat harus memperkukuh perkongsian ekonomi secara bersama.
"Anwar menegaskan perlunya menggalakkan AS dan China untuk mengadakan sidang kemuncak serta dialog di kawasan yang neutral seperti Malaysia.
"Ini penting, seperti yang dinyatakan Anwar, kerana kedua-dua negara ini tidak boleh melihat hubungan mereka sebagai 'zero sum-games', terutamanya dalam bidang seperti ASEAN Power Grid yang melibatkan China, Vietnam, Laos, Thailand, Malaysia, Singapura, dan Indonesia.
"Persaingan dalam menentukan siapa yang akan menguasai Laluan Strategik Komunikasi Laut, keunggulan semikonduktor, unsur nadir bumi bukan radioaktif, serta kabel internet dasar laut, semuanya berkaitan dengan usaha mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050," katanya lagi.
Comments