Oleh: Azuan Ab Rahman
Kuala Lumpur dan Putrajaya bersedia sepenuhnya untuk menjadi tuan rumah kepada kira-kira 180 mesyuarat penting bersempena dengan Kepengerusian ASEAN tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, antara persiapan yang dilaksana merangkumi pelbagai aspek kritikal termasuk keselamatan, kesihatan awam, pengurusan komuniti dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.
"Setakat ini, lebih daripada 300 mesyuarat rasmi ASEAN telah dijadualkan berlangsung di seluruh Malaysia, dengan kira-kira 180 mesyuarat utama dijadualkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Alhamdulillah, persediaan komprehensif merangkumi pelbagai aspek kritikal seperti keselamatan, kesihatan awam, pengurusan komuniti dan kesiapsiagaan menghadapi bencana telah dilaksanakan secara menyeluruh oleh agensi-agensi berkaitan di Wilayah Persekutuan.
"Persiapan ini mencerminkan komitmen tinggi Wilayah Persekutuan dalam memastikan setiap acara sepanjang Kepengerusian ASEAN berjalan lancar, selamat dan profesional," katanya menerusi catatan Facebook pada Isnin.
Dr Zaliha sebelumnya mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Wilayah Persekutuan (JKKN), yang membincangkan secara khusus kesediaan Wilayah Persekutuan bagi memastikan kelancaran penganjuran acara.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan, tahun ini, di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kelestarian’, mencerminkan aspirasi negara untuk memupuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Menerusi hantaran itu beliau menyeru semua pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat, untuk menghulurkan sokongan dan kerjasama penuh mereka untuk menjadikan Jawatan Pengerusi ASEAN sebagai penanda aras baharu untuk menganjurkan acara antarabangsa.
Comments