
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Vietnam semalam sebagai Pengerusi ASEAN.
PM melakukan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, To Lam dan menyampaikan penghargaan atas dukungan Vietnam terhadap kepimpinan Malaysia yang kini mengetuai ASEAN
"Saya memulakan dengan menegaskan Vietnam sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam sejarah peribadi saya.
"Semasa zaman mahasiswa, kepimpinan Ho Chi Minh menjadi inspirasi dan sumber kepada semangat perjuangan kami.
"Hubungan sejarah antara Malaysia dan Vietnam cukup erat, dan kini menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk terus memperkukuh kerjasama demi manfaat bersama," katanya dalam muat naik di Facebook.
Selain itu, PM juga menyentuh mengenai hubungan dua hala, terutamanya meningkatkan hubungan ekonomi.
"Kami menyentuh kepentingan dalam memperluas kerjasama dalam bidang digital, kecerdasan buatan (AI), serta aktiviti perikanan.
"Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap pertumbuhan pesat ekonomi Vietnam, yang banyak memberikan pengajaran dan inspirasi kepada Malaysia. Kita boleh belajar daripada kejayaan Vietnam dalam meneroka teknologi baharu dan sektor tenaga yang mampan
"Kami (juga) mencapai persetujuan dalam aspek perkongsian maklumat perisikan serta kerjasama ketenteraan, yakni satu langkah penting dalam memastikan kestabilan dan keselamatan serantau," ujarnya.
Dalam isu penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN, PM Anwar menghargai pemahaman Vietnam terhadap sejarah negara itu yang mendukung sepenuhnya kemasukan negara berkenaan ke dalam ASEAN.
"Saya turut menekankan bahawa tidak ramai yang benar-benar memahami dan menghargai perjuangan wira-wira Dien Bien Phu, terutamanya dalam mengatur sejarah kenegaraan dan memungkinkan kejayaan Vietnam hari ini," katanya lagi.
Untuk rekod, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja dua hari ke Vietnam dan dijadualkan menyampaikan ucaptama pada Forum Masa Depan ASEAN (AFF) kedua, hari ini.
Mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan.
Menurut Wisma Putra, Forum Masa Depan ASEAN menjadi platform inklusif untuk perbincangan dan dialog dalam kalangan pemimpin ASEAN, penggubal dasar, pakar, badan pemikir, peneraju perniagaan dan pihak berkepentingan mengenai hala tuju masa depan ASEAN.
Comments