Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil optimis kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun ini akan memberi impak positif kepada ekonomi negara.
Jelasnya, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada kira-kira 323 mesyuarat ASEAN di pelbagai peringkat termasuk sidang kemuncaknya yang dijangka berlangsung pada Mei ini yang akan memberi limpahan manfaat kepada sektor perhotelan, pelancongan dan industri tempatan terutama di setiap negeri yang menjadi lokasi penganjuran.
"Sudah pasti mereka yang datang dari pelbagai negara bukan hanya dari kalangan ASEAN tapi lebih luas dari itu. Kita tahu Gulf Cooperation Countries ataupun GCC, kita tahu Dialog Partners ASEAN, semua akan datang dan kita berharap mereka juga membeli produk-produk tempatan," katanya dipetik selepas hadir sesi Live Feed Amanat Perdana Menteri 2025 bersama warga Kementerian Komunikasi pada Jumaat.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula 1 Januari 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan”, yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan sementara itu memaklumkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta supaya setiap kementerian yang menjadi tuan rumah bagi mesyuarat ASEAN untuk mengutamakan produk kraf tangan tempatan untuk dijadikan cenderahati.
"Jadi ini juga satu lagi limpahan tambahan. Insya-Allah, penangan Kepengerusian ASEAN ini nanti akan mendatangkan kesan positif kepada ekonomi negara kita secara tidak langsung," katanya.
Comments