Oleh: Akmal Manaf
Parti pembangkang Pas sepatutnya mempertahankan dan mendukung hak serta kepentingan semua kaum seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukannya memecahbelahkan masyarakat dengan politik sempit.
Demikian tegas tiga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang mengecam tindakan Pas mempolitikkan majlis Sambutan Hari Natal di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) baru-baru ini.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Sheikh Umar Bagharib Ali, Young Syefura Othman dan Syahredzan Johan yang menyifatkan parti 'memperjuangkan' Islam itu perlu menekuni 'fiqh ta'ayush' yang menekankan konsep hidup bersama serta interaksi sosial antara manusia daripada pelbagai latar belakang, agama dan budaya.
Mereka berkata, kepelbagaian etnik, ras serta kaum perlu dirai, difahami serta dihormati dan bukan untuk dimanipulasi demi kepentingan politik atas nama agama.
Oleh itu kata mereka, Pas perlu membawa semangat Malaysia perjuangannya serta meninggalkan politik ekstrim yang tidak meraikan perpaduan kaum.
"Sesungguhnya kepelbagaian itulah yang menjadi tonggak kekuatan kita. Tindakan mempolitikkan perayaan Hari Natal bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
"Beliau menyambut baik sambutan itu dengan menyifatkannya sebagai satu langkah pembinaan masyarakat Malaysia yang lebih berkualiti atau bermoral.
"Percanggahan ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat percubaan untuk memberi gambaran bahawa ianya parti yang inklusif, namun sebenarnya rata-rata kepimpinan Pas tidak menghormati hak rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama," ujar mereka dalam kenyataan itu.
Comments