Kenyataan pemimpin Pas boleh jejas hubungan Malaysia-S'pura
- Suara Keadilan
- 9 hours ago
- 1 min read

Tindakan dua pemimpin Pas yang didakwa cuba mempengaruhi pola pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) Singapura dikritik.
Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda menegaskan, tindakan itu dilihat bukan sahaja melanggar norma hubungan antarabangsa, tetapi juga berpotensi menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia-Singapura yang telah lama terjalin erat.
Menurut beliau, walaupun memberi komen terhadap politik negara lain bukan satu kesalahan, cubaan mempengaruhi pengundi berdasarkan kaum dan agama bertentangan dengan nilai demokrasi inklusif.
"Apa yang menjadi masalah ialah apabila kenyataan tersebut cuba mempengaruhi pola pengundian rakyat Singapura berdasarkan kaum dan agama yang bertentangan nilai demokrasi inklusif yang sepatutnya dihormati.
"Tanggungjawab sebagai pemimpin menuntut kebijaksanaan dalam menimbang sensitiviti politik dan undang-undang negara jiran," katanya menerusi kenyataan.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura dan Jabatan Pilihan Raya negara menerusi satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan “mengenal pasti beberapa individu asing yang cuba mempengaruhi PRU” dan mengeluarkan “Arahan Pembetulan” kepada Meta untuk menyekat akses kepada posting mereka.
Sebelum ini, kerajaan Singapura mengeluarkan "Arahan Pembetulan" kepada Meta untuk menyekat akses terhadap tiga individu termasuk Bendahari Pas Iskandar Abdul Samad dan Ketua Pemuda Pas Selangor Mohamed Sukri Omar atas dakwaan berunsur campur tangan politik. Kedua-dua mereka bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.
"Tindakan pemimpin Pas yang melulu bukan sahaja merosakkan nama baik parti masing-masing, malah turut mencemar imej negara di mata masyarakat antarabangsa," ujar Hasbie yang juga ahli Dewan Negara.
Beliau sementara itu, menegaskan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat wajib menghormati kedaulatan dan undang-undang negara lain.
Sebarang bentuk kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai cubaan mempengaruhi politik domestik Singapura adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengundang implikasi diplomatik yang tidak perlu.
Comentarios