Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh mempersoalkan pengampunan diraja ke atas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 lalu, sama ada telah mengikut prosedur yang sah terus dikecam.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Adam Adli Abdul Halim menyelar cara berpolitik Dr Akmal yang disifatkannya semberono kerana pengampunan Datuk Seri Anwar dan prosedur yang dilaluinya telah menjadi tajuk berita utama kira kira enam tahun lalu.
"Fakta asas dan penting yang perlu Dr Akmal ketahui adalah pengampunan Datuk Seri Anwar pada 2018 atas dasar pelanggaran prinsip keadilan (dalam perbicaraan) telah pun melalui proses wajar termasuk pembentangan dan pertimbangan oleh Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
"Ini telah dilapor secara meluas oleh media ketika itu. Maka apa yang dipertikaikan oleh Akmal bukan sahaja melulu, malah memesongkan fakta yang diketahui umum," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tidak cukup itu, ujar Adam, keputusan Mahkamah Rayuan pada 2021 yang membatalkan sebuah saman dari pihak mempertikaikan prosedur pengampunan diraja ke atas PM Anwar itu telah mengesahkan semua proses telah dijalankan secara tertib.
Menurut Adam, pengurniaan pengampunan bukanlah keputusan yang dibuat sewenang-wenangnya mengikut desakan politik, tetapi dilindungi mekanisme yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Kami di Pakatan Harapan (PH) ketika itu (pada 2018) menuruti proses ini dengan cermat dan hemah atas dasar memperakui keluhuran Perlembagaan kita.
"MADANI (pada waktu ini) tidak mengamalkan politik dendam atas pertembungan lampau. Ini kerajaan gabungan yang dianggotai pelbagai parti demi kepentingan rakyat dan kestabilan negara. Sehabis baik ianya akan sentiasa dijaga.
"Apakah Akmal mahu terus menutup sebelah mata terhadap pendekatan hari ini di bawah kerajaan Madani?" soalnya.
Oleh itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menyeru Dr Akmal dan para pengkritik isu pengampunan bekas PM Najib Razak agar mengimbau semula kronologi peristiwa menyangkut mantan Presiden UMNO tersebut.
Tidak wajar, katanya, PM Anwar dipersalahkan kerana pendakwaan ke atas Najib berlaku pada era Tun Mahathir sebagai PM, perbicaraan pada era Muhyiddin Yassin dan hukuman dijatuhkan ketika Datuk Seri Ismail Sabri berkuasa. Namun yang menjadi mangsa kecaman adalah PM Anwar.
"Hari ini, Datuk Seri Najib dan Rosmah Mansor masih diberi peluang sewajarnya melalui proses undang-undang yang adil, tanpa sebarang campur tangan politik.
"Biarpun ada sejarah pertembungan politik yang runcing; keadilan berlandaskan hukum akan tetap ditegakkan hari ini. Walaupun ia membawa risiko besar termasuk mencederakan reputasi politik Datuk Seri Anwar dan PH khususnya dalam kalangan pendokong dan simpatisan kami," katanya lagi.
Tegas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, semua pihak termasuk Dr Akmal seharusnya menjadi contoh kepada keteguhan memegang prinsip Perlembagaan.
"Oleh itu saya berpandangan, wajar bagi Dr Akmal menarik semula kenyataan beliau. Jangan kita pertikaikan bidang kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sehingga mencalarkan pandangan terhadap keluhuran institusi," katanya lagi.
Tegas Adam, sekiranya tidak berhati-hati, kenyataan semberono bukan lagi sekadar serangan politik tetapi akan dianggap tindakan yang tidak menghormati institusi Raja dan Perlembagaan Persekutuan.
Comentários