
Oleh: Akmal Manaf
Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) tampil dengan beberapa cadangan agar tragedi kemalangan yang meragut tujuh nyawa di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Simpang Ampat, Melaka, malam kelmarin tidak berulang.
Naib Pengerusinya, Manivanan Gowin berkata, pihaknya mencadangkan supaya penyelenggaraan kenderaan dilakukan secara berkala dan penguatkuasaan ketat tanpa tolak ansur.
Katanya, semua kenderaan berat diwajibkan menjalani pemeriksaan berkala di bawah pengawasan ketat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Menurut beliau, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) harus melipatgandakan usaha penguatkuasaan dengan mengenakan denda berat dan tindakan tegas terhadap kenderaan berat yang gagal mematuhi piawaian keselamatan.
"Pemantauan secara berkala dan meluas adalah amat penting untuk mencegah kenderaan yang tidak selamat daripada berada di jalan raya.
"Latihan dan kesedaran pemandu mesti diperkukuh dan operator pengangkutan wajib melaksanakan program latihan keselamatan berterusan yang lebih menyeluruh, khususnya untuk pemandu lori dan bas.
"Latihan ini harus merangkumi pengetahuan mendalam tentang pemanduan berhemah, pemahaman terhadap undang-undang jalan raya, serta penerapan prinsip keselamatan yang mutlak," katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, kemalangan dapat diminimumkan hanya dengan kesedaran dan disiplin yang tinggi serta dibantu dengan penggunaan teknologi pemantauan canggih terkini.
Teknologi itu katanya adalah seperti Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan telematik yang seharusnya diwajibkan dalam semua kenderaan berat untuk memastikan masalah mekanikal dikesan secara langsung.
"Teknologi ini mampu memberi amaran awal tentang potensi kerosakan yang boleh membahayakan nyawa. Sudah tiba masanya untuk kita memanfaatkan kemajuan teknologi dalam memastikan keselamatan yang lebih tinggi di jalan raya.
"Agensi kerajaan, operator pengangkutan, pihak berkuasa tempatan, serta organisasi bukan kerajaan mesti berganding bahu dalam merangka pelan strategik jangka panjang untuk keselamatan jalan raya.
"Kerjasama ini harus merangkumi pengenalpastian masalah, penyelidikan berterusan, dan pelaksanaan dasar-dasar keselamatan yang lebih ketat dan efektif," katanya lagi.
Menurut Manivanan, pihaknya juga memiliki pasukan pakar yang berkemahiran tinggi untuk membantu pihak berkuasa dan agensi berkaitan dalam mengenal pasti punca masalah keselamatan dan mencari penyelesaian yang lebih efektif dan lestari.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden KEADILAN memaklumkan, pasukan tersebut bersedia menjalankan analisis teknikal, penyiasatan punca kemalangan, serta mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan yang tepat dan sesuai.
Selain itu katanya, NIOSH turut menawarkan kursus pemanduan berhemah dan latihan berkaitan ISO Pengurusan Trafik, bertujuan meningkatkan kesedaran pemandu serta membantu organisasi dalam mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa yang relevan.
"Program-program ini adalah satu usaha proaktif bagi mengurangkan kemalangan yang melibatkan kenderaan berat.
"Komitmen NIOSH adalah untuk menjadi rakan strategik kepada semua pihak dalam memastikan keselamatan jalan raya berada pada tahap tertinggi.
"Tragedi ini harus dijadikan sebagai satu titik tolak penting untuk kita melakukan reformasi dalam pendekatan keselamatan kenderaan berat.
"Tiada kompromi terhadap nyawa keselamatan adalah perkara utama. Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut," ujarnya.
Kemalangan kelmarin membabitkan sebuah bas, dua buah lori treler, dan dua buah kereta di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dari Ayer Keroh menghala ke Simpang Ampat, Melaka.
Siasatan awal mendapati lori treler pertama dan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang dari arah utara ke selatan, sementara tiga kenderaan lain dari arah bertentangan terlibat kemalangan.
Tayar hadapan sebelah kanan lori treler didakwa tercabut, dan berada di lorong tengah jalan, menyebabkan bas yang sedang bergerak gagal mengelak, serta hilang kawalan.
Bas tersebut dipercayai terbabas ke jalan bertentangan, dan merempuh tiga kenderaan lain iaitu sebuah kereta, sebuah lagi lori treler yang dipandu seorang lelaki bersama kelindan, dan sebuah MPV yang dinaiki lapan individu.
Comments