
Kenaikan mendadak harga telur ayam di Amerika Syarikat (AS) dan laporan media tempatan mendakwa mungkin akan berlaku penyeludupan telur untuk pasaran eksport dinafikan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, rakyat tidak perlu mempercayai laporan sedemikian kerana bekalan teur dalam negara, sementelah untuk musim perayaan Aidilfitri ini adalah mencukupi.

"KPKM ingin memberi jaminan bahawa bekalan telur ayam di Malaysia kekal mencukupi dan stabil bagi memenuhi permintaan domestik.
"Kerjasama erat antara KPKM dan para pengeluar telur tempatan telah memastikan tahap pengeluaran telur harian berada pada paras yang stabil dan memuaskan.
"Bagi menjamin kestabilan bekalan, KPKM sentiasa melaksanakan pemantauan rapi ke atas rantaian pengeluaran dan pengedaran telur ayam dari peringkat ladang hingga ke pengguna akhir," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, kata Mohamad, langkah penguatkuasaan juga terus diperkukuh dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi dan Kementerian lain bagi memantau aktiviti pengeksportan bekalan makanan ke luar negara.
Kerajaan Malaysia, katanya, kekal komited dalam memastikan keterjaminan makanan negara melalui dasar dan pelan tindakan strategik yang menyeluruh, termasuk usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan dan sokongan kepada industri agromakanan.
"Justeru itu, rakyat dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas dan sentiasa merujuk maklumat sahih melalui saluran rasmi KPKM.
"Kementerian akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia mengambil tindakan segera sekiranya diperlukan demi memastikan kestabilan bekalan makanan negara sentiasa cukup dan terjamin," katanya lagi.
Harga telur di seluruh Amerika Syarikat dilapor media antarabangsa melonjak ke tahap tertinggi tahun ini, didorong oleh wabak selesema burung dan peningkatan permintaan semasa musim cuti.
Harga borong bagi telur bersaiz besar mencecah AS$4.07 sedozen pada Jumaat, meningkat mendadak daripada AS$1.10 pada awal tahun ini menurut data Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA).
Comments