top of page

Kenaikan tarif elektrik: Kerajaan tidak dirujuk sebelum keluar kenyataan



Kerajaan tidak dirujuk berhubung kenyataan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada Bursa Malaysia berkenaan kenaikan tarif elektrik yang dijangka dikenakan selepas Jun 2025.


Hal itu ditegaskan oleh Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof dalam kenyataannya petang tadi.


Menurut beliau, Kerajaan menekankan bahawa PETRA bersama-sama Suruhanjaya Tenaga (ST) masih dalam proses mengkaji jadual tarif elektrik baharu yang dijangka untuk dilaksanakan bermula pada Julai 2025 sebagaimana ditetapkan.


"Oleh yang demikian, ingin ditegaskan bahawa PETRA tidak dirujuk serta dimaklumkan oleh TNB terkait pengumuman mengenai kenaikan tarif elektrik di Semenanjung tempoh hari.


"Untuk makluman tiada sebarang keputusan kenaikan tarif elektrik di Semenanjung yang telah dibuat sehingga kini.


"Seperti ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri, sebarang kenaikan yang boleh membebankan rakyat adalah tidak dibenarkan sama sekali," katanya.


Tegas Fadillah, terdapat keperluan Kerajaan melakukan semakan terhadap tarif asas elektrik sebelum menetapkan jadual tarif elektrik terutama meneliti menilai harga bahan api, terutamanya arang batu dan gas yang meningkat kebelakangan ini.


Katanya, dalam tempoh kawal selia ketiga (Regulatory Period 3 – RP3) (2022 – 2024), unjuran harga arang batu ditetapkan pada kadar AS$79 per matrik tan dan harga gas ditetapkan melalui harga dua peringkat (two tier pricing) menggunakan formula Reference Market Price (RMP).


Peringkat pertama bagi isi padu gas sehingga 800 juta kaki padu sehari (mmscfd), harga lantai ditetapkan pada kadar RM24/MMBtu dan harga siling jualan gas ditetapkan pada kadar RM30/MMBtu. Manakala, harga purata bagi penggunaan gas

melebihi 800 mmscfd diunjurkan pada kadar RM33/MMBtu.


Namun pasca Covid-19 dan krisis tenaga global menyebabkan harga bahan api meningkat secara mendadak apabila harga arang batu bagi tempoh kawal selia keempat (RP4) (2025 – 2027) diunjurkan pada kadar AS$97 per matrik tan dan penggunaan gas bulanan sehingga 800 juta kaki padu sehari (mmscfd) akan dikenakan harga lantai RM24/MMBtu dan harga siling RM35/MMBtu. Bagi penggunaan gas melebihi 800 mmscfd diunjurkan pada kadar RM46/MMBtu.


"Bagaimanapun untuk pengguna (elektrik) kategori domestik dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), Kerajaan terus komited untuk melindungi mereka supaya tarif elektrik yang dikenakan adalah kompetitif dan mampu dibayar.


"Juga pemberian subsidi elektrik secara bersasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan akan diteruskan. Ini memastikan 85% pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kWj dan ke bawah, tidak akan terkesan," ujarnya.


Bagaimanapun, kata Timbalan Perdana Menteri itu kategori pengguna komersial dan industri yang menggunakan elektrik kadar banyak serta mencatatkan keuntungan yang tinggi perlu membayar kos elektrik pada harga sebenar.


Menurut Fadillah, pengguna dalam kategori berkenaan tetap mempunyai alternatif yang mana mereka boleh memasang solar dan bateri penyimpanan tenaga di premis masing-masing serta mempraktikkan inisiatif kecekapan tenaga seperti melaksanakan audit tenaga secara kolaborasi dengan Syarikat Perkhidmatan Tenaga – Energy Service Company (ESCO) dan melaksanakan program inisiatif kecekapan tenaga bagi mengenal pasti potensi penjimatan tenaga elektrik di pepasangan dan premis.


"Kerajaan memberi jaminan bahawa penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan mengambil kira semua aspek termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.


"Dalam hal ini, sebarang pengumuman berhubung penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan dikeluarkan oleh Kerajaan," katanya lagi.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page