Isu kenaikan tarif elektrik yang diputar belit oleh pihak pembangkang dan laskar siber mereka di media sosial hari ini dijawab tuntas oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Pas-Machang) pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, menegaskan bahawa isu kenaikan tarif itu tidak difahami secara fakta sebaliknya dibuat menggunakan emosi oleh pembangkang.
Kata Anwar, beliau dalam penjelasan semalam tidak menyebut kenaikan kepada pengguna elektrik domestik, sebaliknya sektor industri dan kenaikan pula dijangka tidak setinggi 14 peratus.
"Saya kata itu pun bukan 14 peratus sebagaimana diumumkan. Respons saya kepada industri kerana kenaikan tarif kepada industri, golongan kaya. Kalau tak naik cukai pada orang kaya nak tambah peruntukan sekolah, hospital mana wangnya?
"Kita kena terima kenyataan kenaikan tarif yang munasabah bagi industri dan orang kaya.
"Kita sebut depan peniaga semalam. Kita terpaksa naikkan tetapi tidak libatkan 85 peratus rakyat.
"Dengar betul betul. Ini dengar dengan sentimen marah. Ini penyakit marah, bukan penyakit ekonomi," katanya merujuk ucapan beliau ketika menyampaikan ucaptama merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), semalam.
Tegas PM, hal yang disebut oleh Tenaga Nasional Berhad mengenai kenaikan tarif secara umum sebelum ini telah pun ditegur dan diperjelaskan bahawa kenaikan tidak melibatkan rakyat biasa.
"Saya tegaskan kenaikan kadar elekrtik untuk industri akan berlaku mengikut kaedah ICPT (Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api) mulai Julai.
"85 peratus rakyat tidak akan terkesan dengan kenaikan ini," katanya lagi.
Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata semakan perlu dibuat memandangkan kenaikan kadar tarif elektrik perlu berlaku, berpandukan kapasiti dan harga pada tempoh tertentu.
Sebelum ini media melaporkan, TNB mencadangkan jadual tarif baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) dilaksanakan mulai 1 Julai 2025.
Di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) antara 2022 dan 2024, tarif asas ditetapkan pada 39.95 sen/kWj.
Comments