
Oleh: Akmal Manaf
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di bawah Kerajaan Madani sebanyak 5.1% pada 2024 berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan di negara ini pada tahun berikutnya.
Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berpendapat peningkatan KDNK tahun lalu dibayangi permintaan tinggi oleh para pengguna.
Lazimnya, kata beliau, ia akan diikuti peningkatan dalam penawaran barang-barang oleh pengeluar dan mereka akan bertindak dengan menambah pengeluaran produk dan mungkin menambah pekerja.
''Apabila pengeluar-pengeluar menambahkan pengeluaran mereka, ia akan mewujudkan peluang baharu kepada perniagaan dan guna tenaga.
''Misalnya pengeluar-pengeluar terpaksa menambah pekerja dan meningkatkan kapasiti.
''Ini menyebabkan peluang perniagaan dan pekerjaan dalam negara akan bertambah,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai Malaysia berada di landasan yang betul di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan berjaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi daripada kemerosotan sebelumnya.
Katanya pertumbuhan yang menjurus kepada pertambahan peluang pekerjaan juga akan menjamin ekonomi domestik seterusnya ke arah lebih baik.
Namun kata Dr Barjoyai, beliau berpandangan hal itu mungkin tidak akan terjadi secara serta-merta, sebaliknya berlaku mengikut susunan.
''Sebagai contoh, majikan atau pengeluar mahu menambahkan kuantiti pengeluaran mereka.
''Dari situ, kita sudah tahu bahawa proses berkenaan memang memerlukan masa dari segi untuk menambah kapasiti seperti membeli peralatan, menambah bilangan kilang dan keperluan-keperluan lain,'' katanya lagi.
Sebelum ini pertumbuhan KDNK pada 2024 dinyatakan telah melonjak kepada 5.1%, mengatasi unjuran awal Kerajaan sebanyak 4%.
Manakala Kerajaan MADANI juga telah mengatasi sasaran defisit fiskal bagi tahun 2024 iaitu 4.1% berbanding sasaran awal 4.3%.
Comments