Kenaikan kos rawatan hospital swasta berpotensi memberi ancaman kepada sistem kesihatan awam sedia ada.
Sehubungan itu, menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, usaha memperkasakan pembiayaan swasta secara mampan bagi sektor kesihatan perlu dilaksanakan bagi memastikan tidak berlaku peralihan golongan pertengahan M40 yang membatalkan polisi insurans akibat kenaikan harga premium insurans.
Katanya, keadaan itu boleh berlaku susulan peningkatan beban jumlah pesakit ke hospital kerajaan.
"Jika hospital kerajaan menjadi terlalu padat akibat pertambahan pesakit daripada golongan M40 yang tidak lagi mampu membayar polisi insurans, sistem tersebut akan menanggung beban yang besar hingga berisiko lumpuh.
"Pada masa sama, peningkatan kes individu menyerahkan polisi insurans mereka juga boleh melumpuhkan syarikat insurans.
"Situasi ini sama seperti bank yang akan runtuh apabila terlalu ramai pelanggan mengeluarkan simpanan serentak," katanya dipetik Astro Awani pada Isnin.
Sebelum ini, timbul isu premium insurans perubatan yang tinggi berikutan pengenaan caj oleh hospital swasta yang di luar kemampuan golongan M40.
Sehubungan itu Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan beberapa langkah interim untuk mengehadkan kenaikan termasuk menghadkan kenaikan premium tahunan bagi insurans perubatan dan takaful tidak melebihi 10 peratus.
Sementara itu Tze Tzin menegaskan, sistem pembiayaan swasta saling melengkapi peranan ditawarkan hospital kerajaan dan membantu mengurangkan beban kewangan ditanggung hospital kerajaan.
Justeru usaha memperkasakan pembiayaan swasta dalam sektor kesihatan diharap akan mencipta situasi menang-menang bagi semua pihak.
Comments