Oleh: Akmal Manaf
Syarikat-syarikat insurans diminta menjelaskan pendirian masing-masing susulan pengumuman mereka bahawa kenaikan caruman premium insurans perubatan dan kesihatan akan dikekalkan.
Menurut satu kenyataan bersama Ahli-Ahli Parlimen KEADILAN, syarikat penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) bertanggungjawab untuk memberi jawapan kepada pencarum kerana mereka berhak mendapat jawapan yang jelas dan tuntas dalam isu berkenaan.
Katanya, pada 3 Disember lalu, Persatuan Insurans Hayat Malaysia yang mewakili syarikat-syarikat ITO telah mengumumkan bahawa kenaikan insurans akan dikekalkan.
''Ketua Pegawai Eksekutif, Mark O'Dell memberitahu bahawa syarikat insurans hanya bersetuju untuk melaksanakan pelarasan harga semula secara beransur-ansur pada masa depan.
''Ini jelas bercanggah dengan kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM). Kami mewakili pencarum-pencarum ingin bertanya syarikat ITO adakah mereka akan akur dengan arahan BNM?
''Atau mereka akan hanya akan melaksanakan penentuan semula harga pada tahun-tahun akan datang? Adakah Persatuan Insuans Hayat Malaysia mewakili semua syarikat insurans?,'' soal mereka dalam kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Phuah; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari; Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran dan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Mun.
Dalam kenyataan sama, mereka turut memohon BNM menjelaskan keadaan yang berlaku sama ada caruman insurans akan naik seperti dirancang oleh ITO.
''Adakah BNM akan memberi arahan kepada syarikat-syarikat ITO untuk mengkaji semula kenaikan? Apakah tindakan BNM ke atas syarikat ITO yang mengingkar arahan BNM?
''Kami menyeru BNM menjelaskan keadaan sebenar kerana kekeliruan ini akan menjejaskan nama baik BNM.
''Dalam masa 14 hari, kami telah mendapat lebih 147 aduan melalui email, telefon dan WhatsApp. Ini menunjukkan kemarahan rakyat terhadap kenaikan mendadak premium insurans,'' kata mereka.
Dalam kenyataan sama, mereka turut mengimbas kembali kenyataan dikeluarkan BNM pada 28 November lalu bertajuk 'Kebimbangan Berkenaan Pelaksanaan Penentuan Semula Harga Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan'.
Katanya, dalam kenyataan itu BNM telah 'menghendaki ITO (Insurers and Takaful Operators) untuk menyemak strategi penentuan semula harga untuk memastikan pelaksanaan yang lebih wajar.
''Kami tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak dan tujuan kami adalah membawa suara rakyat untuk perhatian pihak berkenaan.
''Kami mengharapkan reformasi ke atas sektor pembiayaan insurans perubatan dan kesihatan untuk melahirkan model pembiayaan yang mampan kepada semua pihak,'' ujar mereka lagi.
Коментарі