Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenaikan harga lantai padi yang baharu akan diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu pada minggu hadapan.
''Minggu depan Menteri (Pertanian dan Keterjaminan Makanan) akan menjelaskan seterusnya mengumumkan kenaikan harga (lantai padi).
''Tetapi harus diingat, kenaikan harga lantai padi akan menyebabkan kenaikan harga beras bagi pengguna.
''Bagaimana kita nak mengimbangi? Naik harga bagi pesawah akan naik juga harga bagi pengguna.
''Kita (kerajaan) tidak mahu naik (bagi pengguna). Jadi setakat ini saya ada berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) supaya kerajaan akan menampung lagi subsidi sekitar RM150 juta agar harga pasaran beras tempatan bagi pengguna tidak dinaikkan,'' katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) berkaitan adakah kerajaan prihatin terhadap keperitan yang sedang dihadapi golongan pesawah di negara ini.
Pada 27 Januari lalu, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) membangkitkan dua isu untuk perhatian pihak kerajaan.
Isu pertama adalah mohon dipertimbangkan untuk menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800.
Tuntutan itu disenarai PeSAWAH melalui memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan KPKM dengan satu lagi isu membabitkan bantahan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman.
Comments