
Oleh: Akmal Manaf
Bantuan yang diberikan Kerajaan MADANI kepada golongan petani seharusnya dilihat secara menyeluruh dan bukannya tertumpu kepada sesetengah bentuk bantuan.
Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Azman Ismail berpendapat, pelarasan semula harga lantai belian padi pada kadar RM1,500 per tan metrik berbanding RM1,300 sebelum ini merupakan bentuk bantuan terbaik yang disediakan oleh kerajaan pada waktu ini.
Pada masa sama, katanya, kerajaan berusaha untuk memastikan bahawa tidak berlaku peningkatan harga beras dan harga belian sebagaimana yang dituntut pesawah sekitar RM1,800 dikhuatiri akan menyebabkan harga beras putih tempatan di pasaran meningkat.
''Tetapi dalam masa yang sama, (pelbagai) bantuan kepada golongan petani diusahakan oleh kerajaan.
''Pada saya, memang terdapat sesetengah golongan petani mengharapkan harga yang lebih tinggi namun ia tidak realistik kerana harga itu diberikan oleh peniaga (pengilang padi) ketika wujud persaingan hebat,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pelarasan harga belian padi, sekali gus menyaksikan petani dapat menampung kenaikan kos penanaman dan pada masa sama menggalakkan industri penanaman padi dalam negara.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan juga telah memberikan bantuan lain kepada golongan petani di negara ini.
Malah Dr Azman juga memuji langkah diambil Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah menaikkan harga belian padi sebanyak dua kali dalam tempoh pentadbirannya, daripada RM1,200 ke RM1,300 pada 2023 dan RM1,500 pada waktu ini.
Ujarnya, PM juga berjaya memujuk pemilik Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary untuk memberi sumbangan kepada penanam padi sebanyak RM30 juta.
''PMX (Datuk Seri Anwar) juga telah menambahkan bantuan khusus selain daripada subsidi (padi).
''Bukan itu sahaja, BERNAS juga memberikan bantuan tunai (RM30 juta).
''Jadi bagi saya kerajaan konsisten dan terbuka dalam memberikan bantuan lain termasuk bantuan berkala selain menyelaraskan harga belian padi,'' ujarnya lagi.
Comments