Oleh: Abdullah Zaid
Tindakan pemimpin pembangkang yang masih menjadikan isu penyasaran subsidi diesel dikaitkan dengan kenaikan harga barang dianggap cuba menjaja isu lapuk untuk kekal relevan.
Bagi Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf, pembangkang perlu melihat realiti sebenar prestasi ekonomi negara yang kian rancak berbanding era pemerintahan Perikatan Nasional (2020 - 2022) sebelum mengeluarkan komentar.
Katanya, dalam keadaan negara berjaya mengekang inflasi pada kadar 2% - 3% tidak wajar ditimbulkan isu kenaikan harga barang yang menjejaskan kehidupan rakyat.
"Saya sarankan pihak pembangkang semak dahulu sebelum mereka hentam kerajaan.
"Berbanding zaman PN, mungkin mereka lupa, kadar inflasi ketika itu mencanak sehingga 5% akibat dasar-dasar kerajaan PN yang sering berubah-ubah sehingga memberi kesan kepada ekonomi negara.
"Ia tidak termasuk dengan harga barang mentah seperti ayam dan telur yang sukar untuk didapati sehingga kerajaan PN sendiri ditumbangkan rakyat," katanya ketika dihubungi.
Untuk rekod, sepanjang hampir dua tahun pemerintahan Kerajaan Perpaduan prestasi ekonomi mengukuh dengan kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2024 sebanyak 5.8% berbanding suku tahun pertama (4.8%) selain kadar pengangguran di bawah 4%.
Kata Abshar, trend pengukutan ringgit dan pertumbuhan ekonomi antara yang terbaik di Asia ini menunjukkan negara berada di landasan yang tepat.
"Pengukuhan ringgit jelas membuktikan dasar kerajaan untuk menarik pelabur luar berdagang di Malaysia membuahkan hasil terutama dalam industri elektrik dan elektronik yang banyak berpangkalan di Pulau Pinang.
"Kejayaan ini sebenarnya boleh menutup tohmahan pembangkang. Kita hanya perlu tekankan penerangan kepada rakyat supaya mereka boleh melihat dasar-dasar kerajaan telah membuahkan hasil," ujarnya lagi.
Isu kenaikan harga barang masih menjadi tajuk utama ceramah pembangkang di seluruh negara. Malah sayap pemuda juga dilihat menggunakan isu berkenaan bagi mengekalkan sokongan kepada parti itu yang kononnya berjuang untuk kehidupan rakyat yang lebih baik.
Comments