
Kenaikan gaji di Malaysia seharusnya berlaku dengan peningkatan produktiviti dalam semua sektor.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian di negera maju seperti Kores Selatan dan Jepun menunjukkan peningkatan produktiviti dengan sendirinya akan meningkatkan kadar gaji.
Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan berusaha untuk meningkatkan produktiviti dengan beberapa cara, termasuk kerjasama sektor swasta.
"Bagaimana harus tingkat produktiviti? Terutama upskilling seperti melalui TVET. Keduanya memperkenalkan beberapa disiplin baru seperti kecerdasan buatan (AI), digital, tenaga (boleh diperbaharui), teknologi baru di universiti, pusat latihan dan Centers of Excellence," katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Syed Sadiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) dalam sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pagi tadi.
Peningkatan skil, kata Anwar, juga boleh dilakukan oleh syarikat swasta yang mempunyai pusat kecemerlangan sendiri.
Para pekerja, katanya, akan sentiasa dilatih dengan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan dan teknologi digital lainnya.
"Banyak syarikat baharu yang masuk melabur, kita syaratkan mewujudkan Centers of Excellence, ini termasuk Nvidia, Google, Microsoft, semua kita wujudkan upskilling.
"Supaya dengan cara sebegini terutamanya AI, saya akui AI satu pendekatan mencabar, walaupun ini satu yang jelas tetapi penguasaannya masih terbatas.
"Arahan kepada semua pusat penyelidikan termasuk sekolah dan universiti memberi tumpuan (kepada AI) kerana saya berpendapat penguasaan AI menentukan sama ada Malaysia ada keupayaan dalam peningkatan produktiviti," katanya lagi.
Comments