Oleh: Noraini Nordin
ULASAN: Menaikkan harga minyak dan menghapuskan subsidi secara umumnya bukanlah perkara asing yang dilakukan di negara kita.
Sebelum ini bekas Perdana Menteri (PM) ke 5, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dikenali sebagai Pak Lah pernah menaikkan harga minyak petrol sehingga 78 sen - satu pertambahan besar daripada RM1.92 kepada RM2.70 (pada masa itu). Pak Lah juga turut mengumumkan kenaikan harga minyak diesel kepada RM2.58. Pada masa itu harga minyak diesel adalah RM1.58 seliter.
Kenaikan sebanyak 41% bagi petrol dan 63.3% bagi diesel.
Manakala pada masa Perdana Menteri ke 6, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menaikkan harga minyak apabila harga petroleum dunia melonjak melebihi AS$100 setong.
Semua itu dilakukan kerana beban subsidi terlalu besar untuk ditanggung kerajaan. Tetapi berbeza dengan langkah yang diambil oleh PM Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memansuhkan subsidi diesel pukal yang bermula dua hari lalu.
Harga pasaran
Memang subsidi diesel pukal dimansuhkan dan harga pasarannya kini menjadi RM3.35 berbanding RM2.15 sebelum ini tetapi pemansuhan subsidi pukal itu diikuti dengan pemberian subsidi secara bersasar.
Sebelum ini subsidi dimansuhkan secara sedikit demi sedikit tetapi tiada subsidi bersasar diberikan.
Pemilik kenderaan diesel persendirian daripada kalangan B40 boleh memohon subsidi diesel dan mereka yang layak akan dibayar RM200 sebulan.
Bagi pergerakan biasa, jumlah RM200 itu dikira mencukupi untuk menampung perbezaan kenaikan sebanyak RM1.20 seliter yang terpaksa ditanggung.
Kalau dalam sebulan itu, mereka kurang bergerak atau tidak ke mana-mana misalnya subsidi RM200 yang diterima itu boleh pula dibelanjakan untuk kegunaan-kegunaan lain.
Selain itu, subsidi khusus masih diberikan kepada kenderaan pengangkutan logistik, kenderaan awam, bas sekolah, bas ekspres dan juga bot nelayan.
Kelompok itu akan menikmati harga potongan serendah antara RM1.65 hingga RM2.15 (harga diesel bersubsidi sebelum ini) dengan cara memohon fleet card melalui Sistem Kawasan Diesel Bersubsidi (SKDB) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Secara mudahnya, melalui pemansuhan subsidi tersebut subsidi bersasar masih diberi kepada kenderaan individu yang layak dan sektor-sektor tertentu, logiknya ia tidak akan menyebabkan kenaikan kos operasi lalu tiada kenaikan harga di pasaran patut berlaku.
Penyeludupan diesel
Yang penting, selain perlaksanaan subsidi bersasar bertujuan agar hanya subsidi dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah, ia juga bertujuan mencegah penyeludupan diesel yang sudah membarah sejak sekian lama.
Berikutan harga diesel bersubsidi negara kita lebih rendah, penyeludup telah sekian lama mengambil kesempatan menjualnya ke negara-negara jiran yang mana harganya jauh lebih mahal lagi.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Ali pada Februari lalu mendedahkan, negara mengalami kerugian sebanyak RM4.5 juta sehari disebabkan ketirisan 3 juta liter diesel yang diseludup ke luar negara setiap hari.
Bayangkan betapa banyak wang negara dapat dijimatkan melalui perlaksanaan subsidi bersasar diesel itu.
Sudah tentu dengan wang dianggarkan RM4 bilion dapat diselamatkan melalui perlaksanaan subsidi bersasar diesel ini, banyak projek pembangunan untuk rakyat seperti sekolah, klinik, jalanraya dan pelbagai lagi dapat dibina demi kesejahteraan rakyat.
Rakyat biasa tidak mengalami kenaikan apa-apa, sebaliknya yang terkesan hanyalah golongan kaya dan mereka yang tamak dengan mengaut kekayaan melalui penyeludupan.
Oleh itu kawallah emosi jangan terburu-buru mengomel 'itu dan ini'. Bacalah maklumat berkaitan isu ini dengan tenang dan minda bersih.
Semaklah fakta berkaitan dan usah mudah terpengaruh dengan fitnah-fitnah murahan dan mereka yang mengambil kesempatan.
Jika isu ini dihalusi dengan minda yang tenang serta emosi yang tidak celaru maka polisi subsidi bersasar ini adalah yang terbaik untuk negara seperti Malaysia.
_________________________________________________________________________________
Penulis juga merupakan Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments