Kerajaan bakal memperkukuhkan lagi usaha sedia ada untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai penggunaan Internet secara positif, produktif dan bertanggungjawab.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, satu Kempen Kesedaran Keselamatan Dalam Talian yang komprehensif akan dilancarkan dalam masa terdekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Melalui kempen ini, kami memperluas program seperti 'Klik Dengan Bijak' yang telah berjaya mengadakan 1,429 program sejak 2012 hingga 15 Julai 2024," katanya dipetik.
Nie Ching juga berkata, kementeriannya mahu mewujudkan budaya tanggungjawab digital serta memperkasakan setiap rakyat di negara ini untuk mengemudi dunia dalam talian dengan selamat dan yakin.
Kementerian dengan kerjasama SKMM, katanya, terlibat secara meluas dengan penyedia perkhidmatan dalam talian seperti Meta dan Google untuk menangani pelbagai isu, memberi tumpuan kepada meningkatkan penyederhanaan keselamatan dalam talian.
"Kementerian berada di barisan hadapan dalam memastikan bahawa teknologi memperkasakan dan bukan membahayakan rakyat kita.
"Kami bekerja keras untuk memastikan ruang dalam talian kita selamat supaya semua terutama gadis dan wanita dalam ICT boleh terus maju tanpa bimbang diganggu atau dibuli," tambahnya.
Beliau turut menegaskan, walaupun usaha menangani isu keselamatan dalam talian mustahak, ia sama penting untuk mengiktiraf kesan positif ICT yang lebih meluas terhadap masyarakat dan ekonomi.
Comments