![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_caaf28a526f04d84962feb3d6846ab42~mv2.jpg/v1/fill/w_660,h_448,al_c,q_80,enc_avif,quality_auto/4449e2_caaf28a526f04d84962feb3d6846ab42~mv2.jpg)
Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) giat meningkatkan perkhidmatan internet negara dengan meneliti tiga teknologi baharu.
Menterinya Fahmi Fadzil berkata, cadangan teknologi baharu itu dijangka akan dilaksanakan mulai tahun hadapan.
"Antaranya 'direct to device' (terus ke peranti) bermakna kita tidak lagi bergantung kepada menara-menara bagi memancarkan signal tetapi kita boleh gunakan telefon untuk berkomunikasi terus ke satelit," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Edwin Banta (GPS-Selangau) yang ingin tahu pelan alternatif bagi meningkatkan akses jalur lebar ke kawasan luar bandar dengan terhadnya pelaksanaan strategi dan pelan sekarang.
Selain itu katanya, SKMM sedang meneliti penggunaan Starlink untuk menggunakan teknologi kemudahan ‘match wifi’ yang dapat meningkatkan kemudahan teknologi.
Dalam pada itu bagi mengulas soalan tambahan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai keberhasilan dan cabaran Starlink terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, Fahmi berkata pihaknya akan meneliti perkara tersebut selain memaklumkan pembangunan teknologi itu di bawah pemilikan swasta sepenuhnya.
"Ada beberapa syarikat lain turut boleh boleh dimanfaat, sebelum ini kita ada Measat (Connect Me) dan kita raikan kepelbagaian supaya rakyat dapat memilih perkhidmatan terbaik dari segi kos yang efektif," ujarnya.
Comments