Kementerian Pertanian pastikan beras bersubsidi sampai ke kawasan pedalaman
- Suara Keadilan
- Mar 21
- 1 min read

Lebih 2.6 juta kampit beras putih tempatan sudah diedarkan di pasaran seluruh negara setakat ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi satu sidang akhbar pada Khamis berkata, pengedaran beras bersubsidi berharga RM26 bagi pek 10 kilogram itu melibatkan 21,190 premis runcitan termasuk pasaraya dan kedai runcit.
"Kita telah keluarkan 2,621,248 kampit beras. Ada tempat dah sampai misalnya kalau di bandar-bandar, hampir semua supermarket dan mini market sudah ada (bekalan).
"Hanya di beberapa kawasan pedalaman, didapati bekalan beras putih tempatan ini belum sampai," katanya dipetik.
Mohamad sebelumnya hadir ke program Libat Urus Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Pemimpin Peladang Negeri Perak di pekarangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tapah semalam.
Pada majlis tersebut, Mohamad turut menyampaikan cek cura bernilai RM573,920 kepada 43 penerima di bawah Program Pembangunan Industri Buah-buahan, Kelapa dan Tanaman Kopi daerah Batang Padang bagi tahun 2025.
Turut disampaikan peruntukan Program Pembangunan Industri Sayur-sayuran, Tanaman Kontan dan Bawang Merah kepada 56 penerima bantuan berjumlah lebih RM1.37 juta.
Seramai 63 orang kalangan ahli peladang pula menerima zakat wakalah dan sumbangan bakul makanan daripada Nafas.
Sementara itu menurut beliau, seluruh jabatan dan agensi di bawah kementeriannya telah digerakkan bagi memastikan semua bekalan beras itu sampai kepada sasaran terutama ke kawasan-kawasan pedalaman.
"Dalam hal ini, kita harap PPK dapat bantu mainkan peranan kesan mana (bekalan) yang belum sampai, kita segerakan," jelasnya.
Komentarze