Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi dengan kes buli dan penderaan yang berlaku di bawah Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melibatkan pegawai kadet.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, pihaknya akan menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan sekiranya terdapat aduan atau laporan dibuat.
Katanya, beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Pertahanan akan memberikan kerjasama penuh untuk sebarang tindakan lanjut.
"Pada masa sama, kami melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan turut melaksanakan siasatan dalaman di peringkat ALK apabila wujud sesuatu aduan atau laporan.
"Antara tindakan penambahbaikan serta mekanisma pencegahan yang telah dan sedang diambil bagi mengelakkan perkara ini berulang adalah pihak ATM telah menambah jawatan pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) yang ditugaskan di ALK.
"Pertambahan penjawatan itu melibatkan pegawai dan LLP daripada 31 orang pegawai sebelum ini, kepada 48 orang pegawai
dan daripada 124 LLP ditambah kepada 182 orang LLP.
"Daripada jumlah keseluruhan itu, 24 orang pegawai dan 48 LLP telah dilantik sebagai jurulatih," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail TLDM (PN-Lumut) yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan apakah usaha dan kaedah yang sedang dilakukan kementerian bagi memastikan kegiatan buli di UPNM dinoktahkan.
Menjelaskan lebih terperinci, Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, pelantikan jurulatih itu bertujuan meringankan beban seorang jurulatih untuk memantau 20 orang pegawai kadet dengan nisbah 1:20.
Menurut beliau lagi, penambahan jumlah jurulatih itu juga membolehkan pecahan untuk kawalan pentadbiran pegawai kadet dibuat dalam kumpulan yang lebih kecil.
"Kumpulan yang lebih kecil iaitu daripada empat batalion kepada lapan kompeni.. yang mana, satu batalion dengan jumlah maksimum 320 pegawai kadet kepada satu kompeni dengan hanya 150 pegawai kadet bagi tujuan pemantauan yang lebih rapi," katanya kepada dewan.
댓글