Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) komited memastikan tenaga kerja di semua ladang sawit mencukupi supaya pengeluaran tidak terjejas.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Dewan Rakyat pada Selasa berkata, kekurangan pekerja boleh menyebabkan buah sawit yang telah masak tidak dapat dituai, sekali gus menjejaskan pengeluaran.
"Bagi pekebun kecil, kerajaan akan memastikan mereka menggunakan bahan penanaman yang baik, (mengamalkan) amalan pertanian yang baik supaya hasil meningkat dan kos pengeluaran dapat dikurangkan selain dapat lebih banyak permintaan," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya menjawab soalan dikemukakan seorang Ahli Parlimen mengenai langkah kementerian menangani penurunan harga kelapa sawit termasuk strategi untuk menstabilkan harga, meningkatkan permintaan dan mencari pasaran baharu.
Mengulas mengenai harga komoditi itu Johari menjelaskan, ia tidak boleh ditetapkan oleh mana-mana pihak kerana ia bergantung pada faktor penawaran dan permintaan.
Sementara itu sebagai menjawab soalan mengenai keberkesanan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) serta Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) dalam mengurangkan kebergantungan pada pekerja asing, Johari berkata mekanisasi diperkenalkan sebagai penyelesaian kerana sektor ini masih kurang diminati oleh tenaga kerja tempatan.
"Oleh kerana kerja-kerja ini masih tidak diminati oleh tenaga kerja tempatan, mekanisasi diperkenalkan sebagai penyelesaian. Kini, dengan penggunaan teknologi, kebergantungan pada tenaga buruh semakin berkurangan tetapi masih belum mencukupi," tambahnya.
Comentarios