Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Pengangkutan (MOT) komited untuk terus memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pengangkutan yang inklusif, mampan dan berdaya saing selari dengan prinsip-prinsip Malaysia MADANI.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pada tahun ini pihaknya menggariskan enam fokus utama untuk direalisasikan.
"Fokus utama adalah meningkatkan ketersambungan, kebolehcapaian dan kebolehpercayaan dalam penyampaian perkhidmatan pengangkutan kepada rakyat.
"Kedua, mengaplikasikan Kecerdasan Buatan (AI) dan mendigitalisasikan penyampaian perkhidmatan pengangkutan kepada rakyat.
"Yang ketiga pula adalah memperkukuhkan keselamatan jalan raya melalui pelaksanaan langkah pencegahan kemalangan yang lebih efektif dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 yang diadakan di kementeriannya, di Putrajaya, hari ini.
Dalam tahun ini, Anthony berkata pihaknya turut menyasarkan untuk membudayakan pengggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat di negara ini.
Selain itu, beliau turut berhasrat untuk memberi tumpuan kepada kemampanan dan kelestarian alam sekitar serta meningkatkan hasil kerajaan.
Comentários