Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Pengangkutan (MOT) komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemimpin logistik global.
Menerusi satu kenyataan kementerian itu berkata, Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) yang dipengerusikan menterinya Anthony Loke Siew Fook pada Isnin telah membincangkan pendekatan terbaik untuk meningkatkan kecekapan ekosistem logistik dan menangani isu-isu semasa dalam sektor berkenaan.
"Kecekapan tadbir urus logistik negara penting bagi memperkemas aliran perdagangan, pengangkutan, dan fret Pusat Logistik Negara (PLN) yang ditubuhkan pada 1 Julai 2024.
"Ia memainkan peranan penting dalam mengisi kelompongan sektor sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai hab logistik serantau," kata kenyataan itu.
Mesyuarat itu antara lain membincangkan dasar dan pelan tindakan yang bertujuan mempergiat aktiviti perdagangan domestik dan antarabangsa sekaligus merealisasikan perancangan negara sebagai hab logistik serantau.
Antaranya dengan mengoptimumkan aspek pemodenan teknologi semasa serta meningkatkan penggunaan pendigitalan yang dijangka mampu mempemerkasa sektor logistik tempatan.
"Kerjasama di peringkat antarabangsa turut diteroka bagi meningkatkan daya saing sektor logistik dan pemain industri pada skala global.
"Selain itu galakan cukai bagi Smart Logistics Complex dijangka bakal memperbanyakkan pelaburan dalam sektor pergudangan," kata kenyataan itu.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Pengangkutan telah mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminudin Harun bagi melihat potensi kawasan Nilai dan Enstek di sebagai lokasi Pusat Logistik Negara yang baharu.
Comments