Kementerian Pendidikan diberi peruntukan RM64.1 bilion berbanding RM58.7 bilion pada tahun ini, peruntukan tertinggi dalam sejarah dengan keutamaan diberikan bagi memastikan memastikan ruangan pembelajaran yang selesa dan selamat untuk pelajar menimba ilmu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebanyak RM2 bilion disediakan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara dengan RM1 bilion khusus untuk menyelenggara semua jenis sekolah terutamanya keadaan bilik darjah yang uzur.
"Ini termasuklah di sekolah kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil, sekolah agama, sekolah dalam kem tentera dan sekolah pendidikan khas OKU.
"RM1 bilion pula bagi menaik taraf prasarana daif di 543 buah sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebanyak 44 sekolah baharu mula dibina tahun hadapan antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra Indah, Batu Pahat, Johor, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra (2), Hulu Langat, Selangor; SMK Lok Kawi, Putatan, Sabah; SMK Semeling, Sungai Petani, Kedah dan SK Dudong, Sibu, Sarawak.
"Bagi memastikan capaian Internet di sekolah desa dan pedalaman, kerajaan bersetuju melaksanakan Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke Sekolah-sekolah Luar Bandar dengan peruntukan RM100 juta. Projek Point of Presence (POP) sedia ada juga diteruskan dengan peruntukan lebih RM800 juta.
"Alhamdulillah, berkat kesungguhan semua, kita berjaya membaik pulih tandas lebih 8,300 sekolah dalam masa singkat.
Tumpuan seterusnya adalah untuk membaik pulih kemudahan lain seperti kantin dan musolla dengan peruntukan RM100 juta," katanya.
Kemudahan lain seperti dewan juga dinaik taraf melalui komitmen badan swasta dan syarikat kerajaan, katanya.
Sebanyak 17 jenis bantuan pendidikan terus disediakan dengan peruntukan RM5.3 bilion antaranya:
*Bantuan makanan asrama: RM2 bilion.
*Rancangan Makanan Tambahan (RMT): RM870 juta (RM784 juta 2024). RMT bakal memanfaat lebih 860,000 murid dan peluang diberikan kepada pembekal sajian makanan oleh syarikat di daerah.
*Hampir RM800 juta Bantuan Awal Persekolahan disediakan kepada semua 5.2 juta murid tahun 1 hingga Tingkatan 5 tanpa
mengira pendapatan ibu bapa.
*Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin ditingkatkan kepada RM180 juta (RM150 juta 2024).
Comments