
Pengamal media sambilan seluruh negara akan menerima caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tempoh satu tahun mulai 1 Julai ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan menampung sepenuhnya caruman itu.
Sehubungan itu, beliau meminta semua organisasi media berdaftar mengemas kini data masing-masing bagi memudahkan bantuan berkenaan disalurkan oleh kementerian.
"Berdasarkan data Jabatan Penerangan, seramai 565 pengamal media yang berdaftar adalah bertaraf sambilan dan Perkeso mengesahkan 538 daripadanya tiada caruman Perkeso, namun layak didaftarkan," katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di Kuching petang ini.
Kemuncak sambutan HAWANA 2024 yang bertema “Etika Teras Kewartawanan” dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu Fahmi berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pengendali platform media sosial bagi membincangkan isu berkaitan kos pengiklanan dan berharap ada berita baik dapat diumumkan pada Jun ini.
Bagi menghargai pengorbanan rakan-rakan media, Fahmi turut mengumumkan pemberian rebat bil telefon pelan pascabayar Insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media akan dilaksanakan untuk tahun kedua pada bulan kebangsaan nanti.
"Pada Bulan Kebangsaan nanti, pengamal media tak perlu membayar bil telefon," katanya.
Selain itu, Fahmi berkata organisasi media berdaftar yang belum melanggan kadar korporat yang ditawarkan oleh pengendali rangkaian mudah alih (MNO), boleh terus berhubung dengan pengendali bagi mendapatkan kadar korporat khas untuk pengamal media bermula 1 Julai 2024.
Sambutan HAWANA adalah acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dengan edisi tahun ini berlangsung di Sarawak dan mengangkat tema "Etika Teras Kewartawanan Mapan".
Perhimpunan wartawan Malaysia ini dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak. Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) adalah agensi pelaksana.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bertujuan meraikan sumbangan pengamal media tempatan kepada negara.
Comments