Kementerian Komunikasi pastikan kebajikan kakitangan Menara KL
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 1 min read

Seramai 193 bekas kakitangan Menara Kuala Lumpur yang ditamatkan perkhidmatan sebelum ini sudah diserap masuk ke dalam syarikat baharu.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, berpandukan notis yang dikeluarkan pada 18 Disember lalu, kementeriannya minta syarikat baru iaitu LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM) mengambil semua pekerja terbabit.
"Kami minta syarikat baharu ambil semula bekerja kerana kebanyakan daripada mereka telah lama berkhidmat dengan Menara Kuala Lumpur.
"Ramai pekerja yang ada sudah 12,13 tahun berkhidmat dan bekerja di sana, mereka tahu selok belok di kawasan tersebut.
"Kementerian turut memastikan kebajikan para pekerja terbela dan menetapkan syarat agar tawaran semula pekerjaan dibuat tanpa sebarang pengurangan dari segi gaji atau faedah," katanya dipetik dalam sidang akhbar Mingguan Menteri Komunikasi di Manara Angkasapuri pada Khamis.
Sementara itu sebagai mengulas penutupan sementara menara itu bermula semalam beliau berkata, ia bagi memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.
"Penting untuk kita sebut Menara KL adalah sepenuhnya hal milik kerajaan yang diurus operasinya oleh Kementerian Komunikasi
"Hasil lawatan, kita dapati banyak daripada sama ada perkakas tidak berada dalam keadaan yang nyaman atau selesa untuk pengunjung. Malah kita lihat ada 'railling' yang berada di 'deck' yang sudah diturunkan. Ini saya rasa merisaukan.
"Jadi, demi keselamatan pengunjung, maka syarikat baru perlu segera melaksana penyelenggaraan termasuk (menilai) aspek keselamatan," katanya.
Sehubungan itu tambahnya, tarikh pembukaan semula menara komunikasi antara yang tertinggi di dunia itu akan dimaklumkan semula melalui pelbagai saluran media.
Comments