Pertemuan Kementerian Komunikasi dengan Meta Platforms Inc (Meta) dan penyedia platform media sosial lain yang dijadualkan di Singapura pada Jun ini antara lainnya bagi membincangkan komitmen kerajaan dalam menangkis kandungan palsu dan penyebaran berita tidak benar.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pertemuan itu akan berlangsung sewaktu lawatan kerja rasminya ke republik berkenaan pada pertengahan Jun.
"… saya harap mereka dapat bersama-sama dengan pihak kerajaan dalam memastikan keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak dan keluarga terjamin.
"Apa yang kita inginkan adalah keselamatan dalam talian, untuk menjadikan Internet selamat bagi kanak-kanak serta keluarga, dan saya percaya sudah pasti sama ada Meta, Facebook, Instagram dan WhatsApp, mereka sehaluan dengan kita dalam hal ini," katanya kepada selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.
Terdahulu ketika berucap dalam majlis itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menyeru warga Kementerian Komunikasi untuk memanfaatkan bidang kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya bagi meningkatkan produktiviti kerja.
Beliau berkata manfaat AI bukan hanya dapat meningkatkan prestasi individu malah ia akan membantu memudah cara penyampaian perkhidmatan seperti yang diharapkan oleh rakyat.
Comments