Kementerian Komunikasi akan melihat langkah tambahan sekiranya mana-mana platform media sosial gagal melaksanakan larangan had umur penggunaan yang ditetapkan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan memantau perkara itu susulan pelesenan platform media sosial yang akan berkuat kuasa pada 1 Jan depan.
"Kita nak (hendak) tengok bagaimana mereka menguatkuasakan had larangan umur itu, berdasarkan apa yang (sekarang ini) mereka (platform media sosial) sendiri sudah tetapkan.
"Jika penguatkuasaan mereka gagal, kita akan mempertimbangkan langkah-langkah tambahan," katanya dipetik pada satu sidang media sempena Program Perak Economic Outlook 2025 di Ipoh pada Khamis.
Beliau sebelumnya ditanya sama ada Malaysia akan mengikut langkah Australia yang melarang kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah menggunakan platform media sosial.
Mengulas lanjut Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu menegaskan, kerajaan masih belum berhasrat untuk mengehadkan umur tertentu bagi penggunaan media sosial di negara ini seperti dilaksanakan di negara itu.
Justeru, pihaknya menyerahkan tugas penguatkuasaan terhadap had umur itu kepada platform media sosial sebagai jaminan kestabilan polisi.
"Sekiranya penyedia platform media sosial berkenaan gagal melaksanakan peraturan had umur yang ditetapkan mereka, barulah kerajaan akan mempertimbangkan langkah-langkah tambahan berkaitan isu tersebut," tambahnya.
Mulai Januari ini, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Penguatkuasaan pelesenan itu penting bagi mengatasi pelbagai masalah dalam internet khususnya membabitkan buli siber dan penipuan.
Comentarios