Kementerian Digital memberi sokongan dan bantuan kepada komuniti India sempena perayaan Thaipusam yang disambut pada minggu depan.
Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, pihak kementeriannya secara khusus akan menyediakan dua skrin digital gergasi di perkarangan Kuil Arulmigu Balathandayuthapani di George Town, Pulau Pinang untuk membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan sambutan Hari Thaipusam di sana.
Selain itu, katanya, sepanjang 2024 Kementerian Digital secara umum telah menghulurkan bantuan kepada kuil-kuil, persatuan-persatuan India serta sekolah Tamil di seluruh negara.
"Ini merupakan antara inisiatif Kementerian Digital dalam membantu masyarakat India di Malaysia, sejajar dengan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk meraikan kepelbagaian dan keharmonian rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan.
Kementerian juga, ujar beliau, bertekad untuk memastikan masyarakat India, termasuk pengusaha perniagaan kecil dan sederhana (PKS) serta anak muda tidak tercicir dalam ekonomi digital yang telah berkembang pesat.
"Kami berharap agar inisiatif-inisiatif sebegini mampu melonjakkan lagi sosioekonomi masyarakat India di Malaysia," katanya.
Belaiu turut berasa bangga dengan peniaga peniaga kecil India yang membuka gerai di perayaan Thaipusam dan menggunakan transaksi digital dalam perniagaan mereka.
"Saya berharap kesedaran ini akan makin bertambah dan lebih ramai peniaga kecil menggunakan platform digital dalam urusan perniagaan mereka," ujarnya.
Selain itu, Gobind memaklumkan kementeriannya akan menyediakan botol air minuman serta makanan percuma untuk penganut yang bakal hadir ke perayaan Thaipusam di Batu Caves Selasa ini.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkunjung ke perkarangan Batu Caves dan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Sri Maha Mariamman Temple Devasthanam Kuala Lumpur (SMMTD KL), Tan Sri R Nadarajah serta ahli jawatankuasa lain, semalam.
Gobind memaklumkan bahawa beliau yang akan bersama sama menyambut Thaipusam di Kuil Arulmigu Balathandayuthapani di George Town dan mengucapkan selamat menyambut perayaan berkenaan kepada komuniti India beragama Hindu.
Comments