Kerajaan bakal meneliti penambahbaikan aspek perundangan bagi memperketat undang-undang berkaitan buli siber.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, beberapa kementerian akan bertemu dalam masa terdekat bagi mengadakan perbincangan berkaitan perkara itu.
"Secara prinsipnya memang di peringkat Jemaah Menteri, tiga empat orang menteri telah bersetuju dan kita akan duduk bersama meneliti aspek perundangan yang perlu kita tambah baik
"Terdapat undang-undang sedia ada yang perlu diperketatkan bukan sahaja dari segi takrifan definisi buli siber, tetapi juga dari segi denda atau hukuman yang boleh dikenakan," katanya dipetik.
Fahmi berkata demikian selepas majlis Persidangan Komunikasi Beretika dan Bertanggungjawab Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) di Putrajaya pada Selasa.
Sementara itu tambahnya, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini turut mencadangkan beberapa kanun keseksaan dipinda segera bagi membendung buli siber.
Ia susulan kelemahan penyedia platform digital menangani aktiviti jenayah ataupun yang melanggar undang-undang di media sosial.
"Seolah-olah tidak dipandang serius oleh platform-platform, maka kita perlukan undang-undang khusus untuk memastikan platform media sosial juga bertanggungjawab atas apa yang berlaku dalam platform masing-masing," katanya lagi.
Comments