Semua kementerian dan agensi kerajaan diseru untuk meneroka dan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata teknologi tersebut boleh membantu mengurangkan beban kerja seperti kemasukan data, pengurusan rekod dan penyimpanan selain dapat menjimatkan masa serta mengurangkan kemungkinan kesilapan manusia sekaligus meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan kepada rakyat.
"Kita lihat mereka ada memanfaatkan AI untuk aplikasi tertentu, tetapi belum digunakan secara menyeluruh.
"Jadi, sekiranya ada sebarang teknologi AI untuk membantu melancarkan proses dan aspek tadbir urus dan kecekapan bagi perkhidmatan yang disediakan agensi ini, maka kita amat alu-alukan," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Pengalaman AI CelcomDigi di Hub CelcomDigi, Subang Hi-Tech Industrial Park, Subang Jaya, Selangor pada Selasa.
Menyentuh mengenai pelancaran pusat itu Fahmi berkata, ia dijangka akan membuka gerbang baharu kepada era teknologi digital negara.
Pusat itu jelasnya banyak memperagakan pelbagai teknologi AI yang sedang digunakan negara sama ada projek rintis atau pengkomersialan.
Justeru ujarnya, orang ramai termasuk penjawat awam wajar mengunjungi pusat tersebut bagi mengambil manfaat dari aplikasi yang mungkin sesuai untuk digunakan.
"Sebagai contoh, tadi saya lihat aplikasi penggunaan dron untuk kenal pasti pergerakan tanah bagi kawasan cerun dan kita tahu pihak Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mungkin berminat kerana ada pelbagai teknologi yang boleh dimanfaatkan, (namun) terpulang kepada kesesuaian bidang tugas mereka," katanya.
Comments