Oleh: Akmal Manaf
Kemenangan presiden terpilih Donald J Trump sebagai Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) ke-47 baru-baru ini diharap akan dapat memulihkan keadaan huru hara dan peperangan di rantau Asia Barat terutamanya Palestin dan Lubnan yang diserang secara berterusan oleh rejim Israel.
Susulan kemenangan Trump itu, Parti Amanah Negara (AMANAH) berharap pemimpin berusia 78 tahun tersebut akan mengotakan janji kempennya untuk berusaha ke arah yang lebih progresif dan dinamik bagi menyelesaikan beberapa konflik utama di dunia.
Timbalan Presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Trump seharusnya menghentikan dasar luar unilateral AS dalam menangani krisis global yang meruncing.
"Kemenangan Trump baru-baru ini sudah pasti bakal menyaksikan kesan perubahan kepada hubungan luar Amerika.
"Beliau juga hendaklah mengotakan janji-janji pilihanraya, isu konflik di Timur Tengah melibatkan perang Israel ke atas Palestin (Gaza), Lubnan dan Syria serta mencegah potensi perang ke atas Iran.
"Jika Trump berupaya melakukan satu tindakan radikal menamatkan konflik keganasan Israel ini, ia merupakan langkah besar untuk meredakan ketegangan geopolitik di rantau bergolak Asia Barat," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Mujahid juga berharap pemimpin AS itu akan terus memastikan imbangan kuasa bagi menjamin rantau Asia Pasifik terus aman, stabil, dan makmur di sebalik ketegangan hubungan dagangan AS-China.
Dr Mujahid yang juga mantan Menteri Agama dalam pada itu menzahirkan keyakinan berhubung Kepengerusian ASEAN pada tahun ini, bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyuarakan kepentingan negara-negara ASEAN untuk terus menjalin kerjasama erat dengan AS di bawah pentadbiran baharu AS.
"Saya turut yakin Malaysia yang akan mempengerusikan Asean 2025 di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim akan menyuarakan kepentingan negara-negara Asean untuk terus menjalin kerjasama erat dengan AS di bawah Presiden Donald Trump," katanya lagi.
Comments