Kemenangan calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri semalam merupakan petanda awal bahawa rakyat Kelantan boleh melakukan perubahan.
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kemenangan itu membayangkan Kerajaan Perpaduan akan mara di negeri itu pada pilihanraya akan datang.
"AMANAH mengucapkan tahniah kepada YB Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang dipillih sebagai ADUN bagi N43 Nenggiri.
"Kemenangan ini adalah satu isyarat jelas bahawa rakyat Kelantan telah bersedia untuk membuat perubahan bagi mengangkat gabungan Perpaduan mentadbir Kelantan dalam pilihanraya akan datang," katanya dalam kenyataan.
Mohamad juga mengucapkan tahniah kepada jentera Pakatan Harapan yang berkampung di Nenggiri sejak penamaan calon dan menyumbang kepada kemenangan.
Beliau mengharapkan semangat sama akan berulang untuk memenangkan PRK DUN Mahkota di Johor pada bulan hadapan.
"Kemenangan ini disumbangkan oleh kerja keras jentera gabungan Perpaduan. Justeru, saya mengucapkan setinggi penghargaan kepada jentera AMANAH di semua peringkat di atas komitmen yang diberikan.
"Saya menyeru jentera AMANAH untuk menumpukan segala kekuatan yang ada untuk memastikan kemenangan calon Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota," katanya.
Menulas kemenangan semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dalam kenyataan awal susulan kemenangan itu berkata kemenangan besar di Nenggiri membuktikan setiap fitnah tidak berasas yang dilontarkan oleh pihak lawan terutamanya tentang UMNO dan Kerajaan Perpaduan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah ditolak rakyat.
"Kononnya Islam terancam bawah kerajaan Perpaduan, itu tidak mendapat reaksi rakyat. Kemenangan kita di Neggiri telah memberikan signal bahawa rakyat menolak fitnah seperti ini," jelasnya.
Semalam, calon BN, Mohd Azmawi atau lebih dikenali sebagai Awei berjaya meraih sebanyak 9,113 undi mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail dengan majoriti sebanyak 3,372 undi.
Daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM) calon Kerajaan Perpaduan tampil menguasai 17 daripadanya, sekaligus meletakkan PN dalam prestasi terburuk dalam pilihan raya kecil (PRK) diadakan sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Berdasarkan keputusan rasmi, peratusan undi PN merosot daripada 53.3 peratus tahun lalu kepada 38.7 peratus, manakala peratusan undi BN meningkat kepada 61.3 peratus berbanding 46.7 peratus bagi tempoh sama.
PN juga kalah di semua PDM majoriti Orang Asli, manakala tiga PDM dikuasai mereka iaitu di Ladang SEDC, Kesedar Limau Kasturi dan Pasir Tumboh menyaksikan majoriti berkurangan dari tiga angka di setiap PDM sebelum ini kepada dua angka.
Comments