Kemenangan luar biasa calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah dalam Pilihan Raya Kecil DUN Mahkota kelmarin boleh dianggap isyarat jelas daripada rakyat yang mahukan konsep perpaduan terus menerajui negara.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Johor, Ezzham Aizzil Abu Hanifah, kemenangan itu juga membayangkan tanda aras penting untuk masa hadapan politik Johor.
"Keputusan ini menunjukkan sokongan padu rakyat terhadap konsep perpaduan yang diterajui oleh Kerajaan Perpaduan.
"Kemenangan ini membuktikan rakyat Johor, khususnya di Mahkota, lebih memilih kestabilan politik dan kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan daripada perpecahan politik yang diutarakan oleh sesetengah pihak.
"Keputusan ini juga merupakan tafsiran jelas bahawa rakyat percaya kepada kemampuan Kerajaan Perpaduan untuk memimpin dengan adil dan membawa kemajuan yang lebih inklusif. AMK Johor melihat ini sebagai satu tand aras penting untuk masa depan politik Johor dan Malaysia secara keseluruhan," katanya dalam kenyataan.
Justeru, tambah beliau, AMK Johor komited untuk terus memperjuangkan nilai-nilai perpaduan dan integriti yang menjadi teras kepada pemerintahan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
"Melalui kerjasama politik yang kukuh, kami yakin Johor mampu menikmati kemajuan yang mampan, di samping mewujudkan suasana politik yang lebih stabil dan kondusif untuk semua lapisan masyarakat.
"AMK Johor menyeru seluruh rakyat untuk terus memberi sokongan kepada usaha perpaduan ini demi masa depan yang lebih cerah untuk negeri dan negara yang tercinta.
"Bersama-sama, kita mampu menolak politik perpecahan dan membina sebuah negara yang makmur dan bersepadu," kata beliau lagi.
*Kredit foto: UMNO Online
Comments